Agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi dikaji semula

Agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi dikaji semula elak pertindihan, tidak relevan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang mengkaji semula fungsi agensi miliknya dalam usaha memastikan semua mampu beroperasi dan tiada pertindihan tugas.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan itu diambil berdasarkan saranan yang telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang mengga­lakkan rasionalisasikan fungsi syarikat dan agensi berkaitan kerajaan bagi mengelakkan pertindihan.

“Setiap kementerian mempunyai agensi masing-masing. Sebagai contoh, Kementerian Perladangan dan Komoditi mempunyai agensi sendiri. Kami juga sedang menilai agensi-agensi ini untuk melihat bagaimana kami boleh memastikan tiada pertindihan kerja. Itu satu aspek.

“Kedua, jika agensi-agensi ini tidak lagi relevan, kami mungkin akan mengadakan sesi libat urus untuk berbincang dengan kakitangan terlibat tentang potensi penempatan semula mereka.

“Ini akan melibatkan penca­rian penempatan dalam agensi yang memerlukan tambahan tenaga kerja, jika perlu,” kata­nya ketika merasmikan program Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah di Flat Desa Pandan, di sini semalam.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan terma­suk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).

Penubuhan itu adalah bagi menangani pertindihan fungsi dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, buat masa ini tiada agensi tertentu yang sedang dikaji semula, namun kementerian sedang meneliti peranan mereka untuk melihat sama ada boleh digabungkan atau dirasionali­sasi.

Tambahnya, jika terdapat dua atau tiga agensi kecil, kami mungkin akan mempertimbangkan untuk menggabungkan mereka menjadi satu.

“Kami dalam proses menilai perkara ini kerana ia mempunyai implikasi yang besar kepada sesetengah agensi ini kerana mempunyai kakitangan berpencen, jadi kami tidak boleh menutup­nya begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN