KANGAR: Fenomena atau trend ‘badan tanpa kepala’ yang berlaku dalam pemilihan PKR di banyak cabang di seluruh negara tahun lalu mula memberi kesan kepada kestabilan parti itu.
Di cabang Kangar antaranya, 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk Timbalan Ketua cabang dari kem Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang menang dalam pemilihan didakwa meletak jawatan sejak pertengahan Mac lalu.
Trend tersebut di mana pasukan menang, tetapi ketuanya kalah itu antaranya turut berlaku terhadap Ay Ling di cabang Kangar.
Bagaimanapun, Ketua PKR cabang Kangar, Noor Amin Ahmad menyifatkan peletakan jawatan AJK itu langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan parti itu di kawasan berkenaan.
Malah, Noor Amin mendedahkan, mereka yang meletak jawatan itu rata-ratanya langsung tidak pernah hadir mesyuarat dan sebahagian pula hanya pernah beberapa kali sahaja menghadiri mesyuarat selain turut aktif menyerang parti.
Bagi pemerhati politik, mereka melihat konflik melanda PKR khususnya di cabang Kangar ketika ini memperlihatkan satu dinamika dalaman yang semakin meruncing, khususnya selepas proses pemilihan kepemimpinan cabang sebelum ini.
Kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib, situasi tersebut tercetus susulan perbezaan keputusan pemilihan yang menyaksikan kepemimpinan cabang tidak selari dengan barisan ahli jawatankuasa yang dipilih.
Beliau berkata, dalam pemilihan tersebut, berlaku ketidakseimbangan apabila ketua cabang yang menang tidak disokong oleh majoriti barisan kepimpinan lain, sekali gus mewujudkan jurang kepercayaan dalam organisasi.
“Malah, tindakan 15 AJK yang meletak jawatan di cabang Kangar itu menggambarkan tahap ketidakpuasan hati yang serius terhadap hala tuju kepimpinan sedia ada. Keadaan ini bukan sekadar konflik biasa, tetapi mencerminkan kelemahan dalam pengurusan perbezaan pandangan dan penyatuan pasukan di peringkat akar umbi.
“Ia juga menimbulkan persoalan terhadap keupayaan kepimpinan cabang dalam mengekalkan kestabilan organisasi serta mengurus hubungan antara pelbagai kem dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM itu berkata, sekiranya konflik tersebut tidak ditangani secara berhemah, ia berpotensi memberi kesan negatif kepada kekuatan parti di peringkat negeri dan nasional.
Katanya, dalam konteks politik semasa, perpaduan dalaman merupakan elemen kritikal untuk memastikan parti kekal relevan dan diyakini oleh rakyat.
“Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dengan berhemah, cita-cita PKR untuk merampas semula kerusi Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) semakin sukar,” katanya.
Sementara itu, sumber dalaman PKR berkata, kebanyakan ketua cabang yang menang manakala pasukannya kalah tidak mendapat sokongan akar umbi sebaliknya hanya menerima dukungan atau mempunyai pengaruh di pusat. – UTUSAN










