PETALING JAYA: Jenama minuman, Tropicana Twister menyumbang sebanyak RM200,000 melalui Kempen ‘Gandakan Kebaikan’ bagi membiayai pembinaan dan penyerahan rumah kepada keluarga yang memerlukan.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama bersama Epic Homes itu melibatkan pembinaan sehingga 100 buah rumah khusus untuk komuniti yang kurang berkemampuan termasuk masyarakat Orang Asli di seluruh Malaysia.
Pengarah Kanan Francais PepsiCo, Aditya Sheoran berkata, kempen tersebut menterjemahkan falsafah syarikat perubahan yang bermakna apabila sesebuah komuniti bersatu di bawah matlamat yang sama.
Menurutnya, kempen itu telah membuahkan hasil dalam bentuk kediaman yang selamat dan selesa untuk golongan sasaran.
“Kami membantu mewujudkan asas yang lebih kukuh agar keluarga dapat terus berkembang, hari ini dan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemasaran PepsiCo Malaysia Beverages, Jennifer Lee berkata, projek ini adalah cerminan tindakan yang menyatukan masyarakat bagi mencipta impak yang berkekalan.
“Menerusi inisiatif pep+ (PepsiCo Positive), syarikat meletakkan kelestarian alam sekitar serta pembangunan modal insan sebagai teras utama kepada penciptaan nilai korporatnya.
“Sebagai rekod pencapaian kewangan, PepsiCo sebelum ini telah mencatatkan pendapatan bersih yang melebihi AS$86 bilion (RM34 bilion) pada tahun 2022,” katanya.
Mengulas lanjut, Penolong Pengurus, Pengumpulan Dana dan Kerjasama EPIC Homes, Nadhira Halim berkata, rumah baharu itu dapat memadamkan kebimbangan yang sering menghantui keluarga yang sebelum ini tinggal di kediaman tidak selamat.
“Ia bukan sekadar tempat berteduh, kediaman yang selamat membawa ketenangan, kestabilan, serta harapan untuk masa depan yang lebih baik.
“Setiap kediaman yang dibina dengan bantuan sukarelawan dan komuniti setempat ini menjadi lambang kepada usaha holistik yang melangkaui sekadar kempen sumbangan biasa,” ujarnya. – UTUSAN










