GUA MUSANG: Seorang wanita Orang Asli suku kaum Temiar yang mempunyai penyakit sawan dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Bring Lama, Pos Pasik di sini pada Jumaat.
Susulan itu, keluarga kepada Zuzina Abine, 33, hadir ke Balai Polis Bertam di sini semalam untuk membuat laporan berhubung perkara tersebut
Kakak mangsa, Timah Ason, 37, berkata, kali terakhir adiknya dilihat memakai baju berwarna hitam dan berkain sarung pada malam sebelum kejadian.
Menurutnya, selepas bangun tidur pada pukul 7 pagi dia menyedari adiknya sudah tiada dan terkejut melihat pintu dapur rumah terbuka.
“Saya mencari adik di rumah jiran, namun tidak menjumpainya. Saya terus memberitahu penghulu tentang kejadian berkenaan disebabkan risau dengan keselamatan adik kerana dia kerap diserang sawan.
“Adik saya kerap diserang sawan apabila dalam sehari tiga kali dia diserang sawan. Saya juga bimbang dia jatuh sungai atau diserang haiwan liar ketika berjalan seorang diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Timah memberitahu, adiknya yang masih bujang itu seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan orang ramai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin pula berkata, seramai 30 orang kampung digerakkan untuk mencari mangsa sejak pukul 10 pagi Jumaat lalu.
Katanya, operasi pencarian dilakukan di sekitar kawasan kampung dengan jarak kira-kira 10 kilometer dari kawasan rumah mangsa.
“Selepas dua hari gerakan mencari mangsa masih gagal dijumpai. Penduduk kampung telah hentikan operasi pencarian dan semalam selepas kakak mangsa membuat laporan polis.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap mangsa kerana banyak kes haiwan buas di kawasan penempatan kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan Orang Hilang (OH). –UTUSAN










