KUALA TERENGGANU: Seorang wanita maut manakala seorang pelajar terselamat setelah motosikal ditunggang mereka bergesel di Jalan Kuala Ibai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata,
alam kejadian sekitar pukul 10.25 pagi itu, Mazenah Mamat, 50, yang juga pembantu kedai makan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketika kejadian, menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Chendering menuju bandar Kuala Terengganu menaiki motosikal Yamaha Ego Avantiz.
Katanya, setibanya di Jalan Kuala Ibai, motosikal mangsa kemudian bergesel dengan sebuah motosikal lain yang tiba-tiba masuk ke laluan utama dari bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, Mazenah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia.
“Remaja lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak DVS itu pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk diberikan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










