PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberikan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tiga doktor kanan selepas didakwa mempunyai kaitan dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan berkata, pihaknya mengambil maklum akan penahanan tiga doktor berkenaan dan sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM.
“Kementerian ini ingin menegaskan bahawa tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga Kementerian Kesihatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tiga doktor kanan yang bertugas di dua hospital di Pulau Pinang selepas disyaki terlibat dengan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Difahamkan, dua daripada doktor yang ditahan itu masing-masing bertugas di Hospital Seberang Jaya manakala seorang lagi di Hospital Bukit Mertajam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










