ALOR SETAR: Kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok menyimpan barangan tersebut di sebuah premis di Selangor dan di dalam kontena di Pulau Pinang terbongkar apabila diserbu kastam, baru-baru ini.
Dalam dua serbuan berasingan pada 29 Ogos dan 2 September lalu itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas minuman keras dan rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.85 juta termasuk cukai, selain mengesan taktik penggunaan setem cukai palsu.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd. Latiff berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.05 pagi, sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam memeriksa sebuah premis tidak bernombor di Selangor.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, pintu premis tidak berkunci dan hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama dipercayai tidak berkastam.
“Premis itu tidak berpenghuni dan semua barang tersebut disita dan dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. Tiada tangkapan dilakukan memandangkan tiada individu yang tampil ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, minuman keras yang disita berjumlah 7,000 liter, manakala rokok sebanyak sejuta batang dianggarkan bernilai RM353,284 yang melibatkan anggaran cukai RM1.05 juta dengan semua barangan berkenaan tidak mempunyai setem cukai.
“Modus operandi sindiket adalah menjadikan kawasan tidak bernombor sebagai stor
penyimpanan barang tidak berkastam dan dipercayai dijadikan sebagai tempat transit
sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 10 malam, 2 September lalu, pasukan menjumpai 5,476 botol atau 2,120.60 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM161,474 yang melibatkan cukai sebanyak RM285,676.53.
Katanya, kesemua minuman keras itu disyaki menggunakan setem cukai palsu yang menyerupai setem cukai yang sah bagi mengelirukan masyarakat terutama pengguna supaya mempercayai
bahawa minuman keras tersebut telah sah dibayar cukai.
“Setem palsu tersebut mungkin melibatkan pencetakan atau penghasilan setem menggunakan teknologi cetakan moden dan ditampal pada botol minuman keras untuk memberi gambaran bahawa produk itu telah membayar cukai yang sepatutnya,” katanya.
Tambahnya, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an ditahan dan siasatan mendapati suspek adalah pekerja di kawasan premis tersebut, sementara pemilik premis sedang dikesan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
JKDM Kedah memperoleh 215 kes pelbagai komoditi termasuk kes rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM22.82 juta dari Januari hingga Ogos lalu. – UTUSAN