LANGKAWI: Penumpang feri dari Kuala Perlis ke Langkawi yang terkandas di beting pasir pada kedudukan 0.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Perlis, semalam berdepan detik sukar selama lapan jam tersadai dalam feri itu.
Mereka menyatakan kekecewaan dengan mutu perkhidmatan pengurusan feri sepanjang terkandas itu termasuk hanya dibekalkan roti dan air botol kecil bagi mengalas perut.
Tinjauan di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini, malam semalam mendapati, kebanyakan mereka ialah penduduk Langkawi yang pulang dari tanah besar selepas selesai urusan masing-masing termasuk memenuhi jemputan kenduri.
Seorang penumpang, Mohd. Firdaus Samson, 34, yang pulang bercuti di kampung berkata, dia bersama isteri dan dua anak kecil mereka berusia tiga tahun dan lapan bulan terpaksa berpanas selama lebih tiga jam semasa enjin feri dimatikan.
-
Hampir 4,000 terjejas, 10 perjalanan feri batal
-
Laut bergelora, 10 perjalanan feri Kuala Kedah batal
-
Pengusaha pelancongan Langkawi senyum lebar
“Anak-anak kecil termasuk anak saya sendiri menangis kepanasan kerana pendingin hawa dan lampu ditutup selama kira-kira tiga jam.
“Bagaimanapun kru kapal memberikan kotak terpakai untuk mengipas anak-anak dan air botol tambahan bagi membancuh susu apabila diminta,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Mansor Mad Zakaria, 58, berkata, mereka tiba di Terminal Feri Penumpang Langkawi hampir pukul 11 malam selepas terkandas sejak pukul 2.30 petang.
“Ada penumpang bernasib naik dapat nasi, tetapi saya dengar hanya 20 bungkus diagihkan sedangkan feri besar ini penuh dan boleh membawa 600 penumpang,” katanya.
Seorang lagi penumpang yang berasal dari Langkawi, Norpishah Hassan, 46, berkata, dia baru sahaja pulang daripada menghadiri kenduri kahwin di Alor Setar dan berdepan situasi itu. – UTUSAN











