LANGKAWI: Musim cuti sekolah dan digandakan dengan cuti hujung minggu yang panjang memberi limpahan rezeki kepada penggiat pelancongan di sini, apabila kemasukan pengunjung lebih ramai berbanding hari-hari biasa.
Tinjauan di Terminal Feri Penumpang Langkawi mendapati, bangunan tersebut dibanjiri penumpang yang baru tiba untuk menghabiskan percutian di pulau legenda ini.
Seorang ejen pelancongan, Yusmiza Yum, 40, berkata, dia menerima tempahan bagi cuti sekolah kali ini sejak Jun lalu.
“Kali ini hampir tidak menang tangan kerana ada dua tempahan melibatkan kumpulan besar berjumlah hampir 60 orang.
“Mereka datang ke sini dibawa oleh syarikat tempat bekerja untuk bercuti dan menempah penginapan, kenderaan serta tiket masuk ke kawasan tarikan pelancong,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi ejen pelancongan, Amirul Amar, 36, berkata, dia juga banyak menerima tempahan bagi mengadakan lawatan ke seluruh pulau peranginan ini.
“Biasanya saya menerima tempahan seperti ini kira-kira seminggu sekali. Tetapi kali ini hampir setiap hari ada tempahan antara empat hingga lapan jam bagi setiap sesi,” ujarnya.
Sementara itu, seorang ejen kereta sewa, Azudin Azmi, 34, berkata, tempahan di syarikat dia bekerja laris bagi cuti sekolah kali ini.
“Cuti sekolah Mac lalu mungkin ramai berjimat dengan persiapan sekolah, puasa dan raya.
“Tetapi kali ini kami banyak terima tempahan sehingga ada dalam kalangan pemilik kereta terpaksa menolak kerana kenderaan sudah habis ditempah,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. menambah operasi feri sehingga pukul 8 malam kerana permintaan yang tinggi. – UTUSAN










