PRK DUN Mahkota: Siapa pilihan pengundi?

PRK DUN Mahkota: Siapa pilihan pengundi?

Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar menyerahkan 'nasib' mereka kepada para pengundi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini adalah hari penentuan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Lebih 60,000 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Selepas 14 hari berkempen, kini calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar menyerahkan ‘nasib’ mereka kepada para pengundi.

Siapakah yang bakal memenangi PRK DJN Mahkota, keputusannya hanya akan diketahui malam ini.

Adakah Syed Hussien atau Mohamad Haizan yang lebih popular dengan panggilan Coach Haizan menjadi pilihan?

Di atas kertas, Syed Hussien dilihat mampu mempertahankan kerusi tersebut, apatah lagi beliau mendapat sokongan daripada jentera BN yang turut dibantu oleh rakan-rakannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun dalam setiap pertandingan apa sahaja boleh terjadi, apatah lagi pergeseran berkaitan isu sijil halal antara pemimpin BN dan DAP yang dilihat memberi kesan terhadap sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan kaum Cina.

Walaupun ramai pemimpin, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan telah membuat keputusan mengekalkan status quo dalam perkara itu, difahamkan pengundi Cina, khususnya penyokong tegar DAP seakan-akan masih keberatan untuk keluar mengundi.

Andai mereka tetap dengan pendirian itu, maka kelebihan yang ada kepada calon BN sebelum ini boleh ‘terjejas’, apatah lagi pengundi Cina adalah lebih 33 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Tanggapan ramai pengundi bahawa keputusan PRK DUN Mahkota tidak akan mengubah ‘apa-apa’ turut memberi kesan kerana berkemungkinan ramai pengundi, terutamanya yang tinggal dan bekerja di luar Kluang, seperti di Singapura dan Kuala Lumpur tidak pulang mengundi.

Persepsi itu pasti turut ‘merencat’ sasaran 70 peratus yang keluar mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin sukar dicapai.

Berbanding pengundi Cina, kesediaan pengundi Melayu yang berjumlah lebih 56 peratus dijangka memberi lebih sokongan kepada Syed Hussien, namun itu tidak memberi jaminan kemenangan kepada beliau kerana Coach Haizan dan PN turut mempunyai penyokongnya.

Lebih tujuh peratus pengundi India pula turut dijangka cenderung memberi sokongan kepada calon BN.

Berdasarkan sambutan semasa kempen, Syed Hussien dijangka mampu mempertahankan kerusi DUN Mahkota untuk BN.

Malah, keperibadiannya yang mesra, menghormati dan disenangi serta telah lama dikenali oleh masyarakat Kluang memberi kelebihan kepadanya.

Bukan sahaja dalam kalangan golongan muda dan belia, malah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu disenangi oleh golongan berusia, termasuk dalam kalangan para peniaga yang suatu ketika dahulu pernah membantu keluarganya menjaja di pasar malam.

Malah, kepetahannya bertutur Bahasa Mandarin kerana turut mendapat awal di sekolah Cina membuatnya mesra dan mudah berinteraksi dengan kaum Tionghoa.

Namun, misi besar Syed Hussien bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota, malah harus memenangi PRK itu dengan majoriti lebih besar daripada yang diperoleh Allahyarham Sharifah Azizah iaitu 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022. – UTUSAN

 

Jumlah pengundi: 66,318

Melayu: 56.41%
Cina: 33.87%
India: 7.75%
Lain-Lain: 1.97%

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN