PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kes anggota tentera yang maut ditembak ketika menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit yang dipercayai dilepaskan pemburu haram semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, pihaknya setakat ini telah mengambil keterangan saksi namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Buat masa ini tiada tangkapan dan setakat ini keputusan bedah siasat belum diperoleh.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes tembak membabitkan anggota tentera yang maut dipercayai dilepaskan pemburu haram pagi semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kes bunuh.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut kes ini termasuk mengesan saksi-saksi berkaitan,” katanya.- UTUSAN










