LONDON: Akhbar The Observer melaporkan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer dari parti Buruh dijangka meletakkan jawatan pada Isnin dan mengumumkan jadual pengundurannya, walaupun satu sumber kerajaan berkata, beliau masih memberi tumpuan kepada tugas mentadbir negara.
Ancaman terhadap kedudukan Starmer, 63, yang semakin memuncak sejak beberapa bulan lalu bertambah serius pada Jumaat apabila pencabarnya daripada parti Buruh yang juga merupakan bekas Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, 56, memenangi pilihan raya kecil parlimen Makerfield.
Menurut laporan The Observer, Starmer sedang membincangkan perkara itu bersama isterinya di kediaman rasmi luar bandar Chequers sebelum membuat keputusan muktamad. Namun, tokoh kanan Parti Buruh menjangkakan satu kenyataan jelas mengenai masa depannya dibuat seawal Isnin.
Bagaimanapun, sumber kerajaan menegaskan Starmer masih memberi tumpuan kepada tugasnya dan merujuk kepada kenyataan beliau sebelum ini yang menyatakan perkara tersebut.
Pemimpin UK itu pada Jumaat berkata, beliau akan menentang sebarang cabaran terhadap kepimpinannya dan menggesa Buruh agar tidak memusnahkan diri sendiri melalui perbalahan dalaman.
Starmer membawa parti itu yang berhaluan tengah kiri meraih kemenangan besar dalam pilihan raya 2024.
Meskipun begitu, popularitinya merosot teruk susulan beberapa skandal dan perubahan dasar yang menyebabkan ramai pengundi beranggapan beliau gagal menunaikan janji untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Jika beliau meletakkan jawatan atau disingkirkan, UK akan memperoleh perdana menteri ketujuh dalam tempoh lebih sedekad, kadar pertukaran pemimpin tertinggi terbanyak dalam hampir dua abad.
Keadaan itu mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan silih berganti dalam memperbaiki perkhidmatan awam dan menangani isu seperti imigresen haram.
Menurut kiraan Reuters, lebih 100 ahli Parlimen Buruh atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan wakil parti itu di Dewan Rakyat secara terbuka menyatakan mereka mahu Starmer berundur atau menetapkan jadual pengundurannya.
Laporan The Observer, yang tidak menamakan sumbernya, berkata, Starmer telah membuat kesimpulan bahawa kedudukannya tidak lagi dapat dipertahankan selepas berbincang dengan anggota Kabinet, penasihat, penderma parti dan pemimpin kesatuan sekerja.
Burnham, 56, yang merupakan ahli politik berpengalaman, dilihat ramai dalam Buruh sebagai pengganti paling berpotensi kepada Starmer sama ada melalui peralihan kuasa yang dipersetujui bersama atau pertandingan rasmi kepimpinan parti.
Beliau membina pengaruh yang kukuh dalam Buruh dan berjaya menewaskan cabaran parti populis sayap kanan pimpinan Nigel Farage dalam pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan bagi mengisi kekosongan satu kerusi parlimen. Kerusi itu dikosongkan oleh Josh Simons, ahli parlimen parti Buruh bagi membolehkn Burnham bertanding.
Kemenangan beliau itu akan membolehkannya mencabar Starmer sebagai ketua parti Buruh.
Ini kerana ahli-ahli parlimen Buruh yang tidak berpuas hati dengan Starmer boleh memaksa parti tersebut mengadakan pemilihan kepimpinan bagi menggantikannya.
Ketidakpuasan hati terhadap kepimpinannya telah meningkat sebelum pilihan raya lagi. Antara ketidakp[uasan hati itu termasuk berhubung keputusannya mengubah pendirian terhadap tiga dasar utama dalam tempoh sebulan selepas menerima tekanan daripada partinya sendiri.
Keputusan beliau melantik Lord Mandelson yang mempunyai hubungan dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein sebagai Duta UK ke Amerika Syarikat turut menimbulkan persoalan mengenai pertimbangannya. – AGENSI










