KUALA TERENGGANU: Persatuan Pengusaha Tembaga Terengganu (Temaga) berharap perusahaan kraf tembaga yang menjadi warisan kebanggaan negeri ini tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan industri kraf tempatan.
Pengerusinya, Shahrol Khairuddin Lawi @ Ali berkata, jumlah pengusaha yang semakin mengecil menyebabkan suara dan keperluan mereka kurang mendapat perhatian daripada pihak-pihak berkaitan.
Katanya, ketika ini hanya tujuh pengusaha tembaga masih aktif meneruskan perusahaan tersebut di Terengganu berbanding lebih 100 pengusaha yang pernah direkodkan suatu ketika dahulu.
“Kami seperti terlepas pandang kerana komuniti pengusaha tembaga sekarang terlalu kecil. Disebabkan jumlah kami tidak ramai, kadangkala kewujudan persatuan dan pengusaha yang masih bertahan ini seolah-olah tidak disedari.
“Hakikatnya, kami juga memerlukan bantuan dan sokongan yang sewajarnya untuk memastikan perusahaan warisan ini dapat diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, zeni pertukangan tembaga yang pernah menjadi kebanggaan Terengganu kini berdepan cabaran getir untuk terus bertahan.
Suatu ketika dahulu, perusahaan tembaga menjadi antara nadi ekonomi masyarakat setempat dan lambang kehalusan seni warisan negeri ini. Namun perubahan zaman, persaingan produk moden dan kekurangan pelapis menyebabkan industri yang berusia ratusan tahun itu semakin terpinggir.
Menurut Shahrol Khairuddin, antara cabaran utama yang dihadapi pengusaha ketika ini adalah kenaikan harga bahan mentah dan kesukaran mendapatkan bekalan tembaga di pasaran.
Katanya, sebelum ini pengusaha menerima bantuan subsidi bahan mentah yang sedikit-sebanyak membantu mengurangkan kos operasi, namun kemudahan itu terhenti sejak tahun lalu.
“Pengusaha kini terpaksa mendapatkan bekalan bahan mentah sendiri dengan harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram. Bukan sahaja harganya semakin mahal, malah bekalan tembaga semakin terhad dan sukar diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, situasi tersebut memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan kemampuan pengusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat meneliti semula keperluan industri berkenaan dan menyediakan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan perusahaan tersebut.
“Kraf tembaga ini hanya diusahakan di Terengganu dan menjadi antara identiti warisan negeri yang tidak terdapat di tempat lain. Sebab itu saya berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian kepada pengusaha yang masih bertahan walaupun jumlah kami tidak ramai,” katanya.
Beliau berkata, meskipun kebanyakan pengusaha masih menerima tempahan dan mampu menjana pendapatan, mereka tetap memerlukan sokongan dalam bentuk bantuan bahan mentah, promosi dan pembangunan industri. – UTUSAN











