PN putuskan bertanding PRN Sabah, bukan SAPP - Hadi Awang PN putuskan bertanding PRN Sabah, bukan SAPP - Hadi Awang

PN putuskan bertanding PRN Sabah, bukan SAPP – Hadi Awang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Keputusan sama ada Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 akan diputuskan pucuk kepemimpinan gabungan parti itu kelak.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu bukan ditentukan oleh mana-mana pihak termasuk parti sekutu PN di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP).

“Bergantung kepada kita yang buat keputusan, bukan mereka yang buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di sini, hari ini.

Semalam, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dilaporkan berkata, PN tidak perlu bertanding pada PRN Sabah Ke-17 selaras dengan pendirian parti itu yang mahu parti Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri di negeri tersebut.

Teck Lee berkata, SAPP masih menjadi ahli PN, namun pendirian itu kekal dan beliau sudah menyuarakannya kepada kepemimpinan PN supaya tidak meletak calon pada PRN Sabah kelak.

Kenyataan Teck Lee itu bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi sebelum ini yang memberi bayangan Pas akan kembali bertanding pada PRN Sabah selepas tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bercakap kepada media selepas Konvensyen Pas Sabah di Kota Kinabalu, Sabtu lalu, Abdul Hadi memberi bayangan untuk Pas bertanding semula di Sabah melihat kepada sokongan golongan muda yang semakin meningkat terhadap parti tersebut.

Sementara itu, ditanya lanjut berkenaan jumlah kerusi yang mahu ditandingi pada PRN Sabah kelak, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dengan parti-parti yang dipilih untuk ditetapkan.

Kepada soalan sama ada PN akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata, pihaknya akan melihat mana yang lebih baik sebelum membuat keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×