Pharmaniaga lancar fasiliti sulung negara hasilkan insulin, vaksin

Pharmaniaga lancar fasiliti sulung negara hasilkan insulin, vaksin

Mohamed Khaled Nordin (tengah) melakukan gimik Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di Pharmaniaga Life Science Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Industri biofarmaseutikal mencapai satu kejayaan baharu menerusi penubuhan kilang pengeluaran vaksin sulung negara oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.

Penubuhan fasiliti khas itu adalah untuk mengeluarkan insulin dan juga vaksin yang tersenarai di dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembukaan dan operasi fasiliti biofarmaseutikal yang berteknologi tinggi itu bukan sahaja mencatat sejarah sebagai syarikat tempatan pertama untuk mengilang insulin dan vaksin, malah akan membantu memperkukuh keterjaminan bekalan ubat-ubatan negara.

Jelasnya, pengalaman negara melanda wabak Covid-19 sebelum ini memberi pengajaran terhadap kesiapsagaan negara dalam membekalkan perubatan seperti vaksin.

“Pengalaman tersebut memberi pengajaran besar, bahawa kita mesti serius dalam membangunkan kekuatan serta keupayaan negara dalam bidang kritikal seperti farmaseutikal.

“Jadi, apabila Pharmaniaga memutuskan untuk mengembangkan keupayaan kilang ini sehingga ke tahap bertaraf antarabangsa seperti sekarang, sudah tentulah ia merupakan satu bentuk perkembangan yang membanggakan kita semua.

“Akan tetapi, kepentingan dan keperluan fasiliti ini tidak boleh hanya dilihat dalam konteks pandemik global atau penyakit berjangkit semata-mata. Sebaliknya, fungsi dan cakupannya adalah jauh lebih besar dan meluas,” katanya pada Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di sini, semalam.

Kira-kira 4.4 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes pada 2021 memerlukan sejumlah 24.7 juta dos insulin setiap tahun dan dianggarkan bilangan akan terus bertambah mencecah lima juta orang menjelang 2030.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, fasiliti khas itu juga bagi mengurangkan pergantungan kepada ubat-ubatan yang diimport selain memberi pulangan yang baik kepada pelabur.

“Ini sekali gus membebaskan kita daripada terperangkap dengan pelbagai eksploitasi oleh pemain utama di peringkat global.

“Usaha ini juga dapat memenuhi aspirasi Halatuju Pelan Pembangunan Vaksin Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar vaksin menjelang 2030 dan paling penting, ini semua adalah sebahagian daripada proses kita memastikan setiap satu entiti di dalam ekosistem pertahanan negara berprestasi tinggi dan memberikan pulangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, kilang dengan fasiliti canggih tersebut bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengukuhkan sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan mengurangkan pergantungan kepada biofarmaseutikal yang diimport seperti insulin dan vaksin.

“Kemudahan ini bukan sahaja untuk memastikan kestabilan bekalan ubat dalam keadaan kritikal malah untuk menjamin masa depan bekalan ubat dalam negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN