PBAPP tambah pelaburan RM1.115 bilion

PBAPP tambah pelaburan RM1.115 bilion

KON Yeow (tengah) ketika merasmikan Pakej 12A di LRA Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menambah pelaburan berjumlah RM1.115 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang bagi memastikan kemampanan bekalan air bersih dapat terus disalurkan kepada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain itu, PBAPP juga dalam perancangan untuk menyelesaikan enam lagi projek Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP 2030) yang berbaki secara berperingkat dalam tempoh sama bagi menangani lonjakan sepuluh peratus penggunaan air di negeri ini.

“Antara langkah yang diambil adalah dengan memasang saluran paip sepanjang 13 kilometer (km) dengan diameter 1.8 meter (m) dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth di Seberang Perai.

“Selain itu, kita juga akan membina loji rawatan air baharu dengan kapasiti 114 juta liter sehari (JLH) untuk memanfaatkan sebahagian daripada simpanan air mentah di Empangan Mengkuang yang diperbesarkan di Seberang Perai Tengah (SPT) setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Pembukaan Rasmi Pakej 12A di LRA Sungai Dua, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, sebanyak enam projek bekalan air utama telah disiapkan sejak tahun 2018.

Kata beliau, antaranya termasuk Fasa 1 dan Fasa 2A bagi Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) iaitu untuk meningkatkan kapasiti simpanan maksimum empangan terbesar di negeri ini kepada 86.4 bilion liter.

“Selain itu, Projek Saluran Paip Dasar Laut Berkembar Pulau Pinang yang ketiga juga telah siap untuk meningkatkan jumlah pengepaman air terawat ke negeri ini sebanyak maksimum 315 JLH.

“Ini termasuk Pakej 12A LRA Sungai Dua yang dirasmikan hari ini. Ia diharap dapat meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 114 JLH ekoran permintaan terhadap bekalan air yang semakin meningkat,” katanya yang memberitahu, penggunaan air yang direkodkan pada separuh pertama 2024 adalah sebanyak 887 JLH berbanding 843 JLH pada 2019.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN