Norizan bersyukur kematian suami terbela

Norizan bersyukur kematian suami terbela

NORIZAN Mat Isa (tengah) ditenangkan oleh dua anaknya sejurus selepas keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Alhamdulillah, kematian suami saya terbela dan tertuduh mendapat balasan atas kesalahan yang dilakukannya.”

Demikian luahan balu Allahyarham Abdul Rahim Mohamad, Norizan Mat Isa, 43, selepas Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM70,000 terhadap seorang penyelia syarikat hiasan dalaman, Lee Han Wee, 45, yang didapati bersalah memandu dalam kea­daan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut, tiga tahun lalu.

Hukuman penjara akan dilanjutkan 12 tahun jika gagal bayar denda yang diputuskan dan lesen memandu tertuduh turut digantung selama 10 tahun bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara.

KESAN

Kata Norizan, kejadian yang menimpa suaminya itu sangat memberi kesan kepada tiga anaknya iaitu Wardah Abdul Rahim, 23; Nurul A’liyah Abdul Rahim, 16, dan Sofia U’mairah Abdul Rahim, 14.

“Ketiga-tiga anak perempuan saya turut terlibat dalam kemalangan. Mujur mereka selamat tetapi terpaksa menanggung kesannya seumur hidup.

“Pada lengan Wardah masih terdapat besi manakala Nurul A’liyah mengalami kecederaan pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat. Sofia U’mairah pula mengalami patah tangan dan menjejaskan pergerakannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Abdul Rahim, 52, yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Wira yang dipan­dunya dirempuh kereta Nissan Teana dari arah bertentangan kira-kira pukul 12.45 pagi pada 29 November 2021.

GAGAL

Terdahulu, Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membuat keputusan itu selepas pembe­laan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pem­belaan terhadap tertuduh.

Peguam Alhirzan Mohd. Akhir yang mewakili tertuduh merayu penangguhan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan tersebut dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa’ari membantah dengan alasan tertuduh memandu dalam kea­daan sedar sebelum mengambil minuman keras sehingga menyebabkan kemalangan berlaku selain tertuduh masih boleh menerima rawatan di penjara.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat iaitu notis rayuan perlu dikemukakan secepat mungkin, jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin manakala denda RM70,000 perlu dibayar terlebih dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×