Monopoli syarikat konsesi jejaskan kontraktor G1

Monopoli syarikat konsesi jejaskan kontraktor G1

Kontraktor G1 kecewa monopoli syarikat konsesi menyebabkan mereka gagal mendapat kontrak bagi kelangsungan syarikat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat konsesi didakwa terus memonopoli projek-projek menguntungkan dan kewujudannya langsung tidak membantu kelangsungan hidup lebih 50,000 kontraktor G1 dalam memperoleh tender kerajaan.

Difahamkan, ketika ini terdapat antara tiga hingga tujuh syarikat konsesi di setiap negeri yang memonopoli projek membabitkan jalan raya dan cerun bernilai bawah RM200,000.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly mendakwa, isu konsesi bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama menjadi ‘bom jangka’ yang bila-bila masa boleh menamatkan riwayat kontraktor G1.

Beliau mendakwa, isu ini berlaku di seluruh negara dan lebih 50,000 kontraktor G1 pada ketika ini cukup terkesan apabila berada dalam keadaan suram ekoran kekurangan projek.

“PKKF melabelkan mereka ini (syarikat konsesi) ibarat haruan makan anak apabila terus memonopoli projek-projek kerajaan dan menindas kontraktor G1 di Malaysia.

“Kewujudan syarikat konsesi sepatutnya melindungi dan membantu kontraktor-kontraktor kecil seperti G1, tetapi sebaliknya mereka mengkhianati ataupun menindas kami.

“Syarikat-syarikat konsesi yang mempunyai kuasa dan sumber kewangan yang lebih besar seharusnya memberikan peluang yang adil kepada kontraktor-kontraktor G1.

“Namun, dengan mengambil dan memonopoli semua projek yang menguntungkan, mereka seperti haruan makan anak, iaitu terus menindas pihak yang lebih kecil dan lemah,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad Faiz mendakwa, tindakan syarikat-syarikat konsesi bukan sahaja menunjukkan sifat tamak dan tidak bertanggungjawab malah mementingkan keuntungan sendiri tanpa mempedulikan nasib kontraktor-kontraktor kecil.

Dakwanya, akibat monopoli syarikat konsesi, kontraktor G1 semakin terhimpit dan berdepan risiko gulung tikar kerana tidak mendapat peluang untuk terlibat dalam projek-projek yang sepatutnya dapat membantu mereka bertahan dan berkembang dalam industri pembinaan.

“Oleh itu, ini bukan sahaja menggambarkan ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat konsesi, tetapi juga menyerlahkan situasi yang tidak seimbang dalam industri pembinaan di Malaysia.

“Konsesi sepatutnya melindungi dan membantu pihak yang lebih kecil, sebaliknya terus mengkhianati dan menindas kami demi keuntungan sendiri,” dakwanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebagai salah satu langkah bagi merangsang ekonomi tempatan, PKKF mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memperuntukkan rangsangan ekonomi bernilai RM1 bilion membabitkan projek-projek kecil yang boleh dilaksanakan oleh kontraktor G1 seperti sebelum ini.

Menurutnya, ini akan membantu meningkatkan aliran tunai dalam ekonomi tempatan dan memberikan peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat.

“Kami juga memohon kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi khusus untuk kontraktor G1. Ia merangkumi bantuan kewangan iaitu skim pinjaman dengan kadar faedah rendah atau geran bagi membantu G1 dalam urusan modal kerja.

“Kedua, insentif Cukai. Ia merangkumi pengecualian atau pengurangan cukai untuk tempoh tertentu bagi menggalakkan pertumbuhan perniagaan.

“Kita juga memohon kerajaan mengadakan latihan kemahiran dan pengurusan. Program latihan berkala dalam aspek teknikal dan pengurusan projek untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kontraktor G1 seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×