GEORGE TOWN : Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap agar kepimpinan baharu yang akan menerajui parti itu mestilah meletakkan kepentingan parti dan rakyat melebihi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, ketika ini, DAP negeri khususnya telah mencapai banyak kejayaan dan setiap pemimpin serta ahli parti itu mesti terus berusaha dengan berdedikasi serta memberi komitmen demi parti.
“Justeru, kita mesti dipandu oleh visi dan misi parti serta menghormati rakyat. Jangan ambil mudah dan kekal setia kepada perjuangan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang, di sini hari ini.
Turut berlangsung pada konvensyen itu ialah sesi pemilihan semula jawatankuasa negeri untuk DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027 dan 15 calon yang berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa negeri akan memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang baharu dalam kalangan mereka.
Terdahulu iaitu pada 5 Ogos yang lalu, Kon Yeow telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau gembira untuk menyerahkan sebuah parti yang beliau percaya jauh lebih baik pada hari ini berbanding 25 tahun yang lalu.
“Ini adalah kali terakhir saya berucap sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang. Hari ini saya akan menyerahkan baton kepada seorang pemimpin dan pasukan baharu yang dipilih oleh para perwakilan untuk memimpin DAP Pulau Pinang pada masa depan.
“Jadi, apabila anda mengundi hari ini, anda mengundi untuk masa depan parti agar terus relevan sebagai pilihan utama untuk memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya.
Kon Yeow menambah, beliau telah diberi keistimewaan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Negeri DAP Pulau Pinang selama 25 tahun bermula selepas kekalahan besar dalam pilihan raya Tanjong 3 dan kekalahan mengejut Tan Sri Lim Kit Siang dan Datuk Seri Karpal Singh pada pilihan raya umum 1999.
“Ketika itu, saya berusia 41 tahun dan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan politik DAP berada di bahu saya dan pasukan saya yang berada di pihak pembangkang. Adalah amat mencabar untuk mengekalkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli dan penyokong ketika itu untuk teruskan perjuangan kita,” katanya.
Sementara itu katanya, apabila dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan beliau supaya merangka pelan penggantian agar generasi seterusnya dapat mengambil alih tanggungjawab kepimpinan.
“Oleh itu, saya telah memilih Konvensyen Biasa Negeri ini untuk memberi peluang kepada para perwakilan memilih kepimpinan baru dan hari ini, kita telah menjadi sebuah parti yang jauh lebih kuat dari segi organisasi, sumber kewangan, publisiti dan sokongan rakyat,” katanya.-UTUSAN










