Jiwa merdeka Zubir Khan, Vannesa Reynauld dan Ceddy Ang

Jiwa merdeka Zubir Khan, Vannesa Reynauld dan Ceddy Ang

merdeka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA figura yang diangkat sebagai penghias muka hadapan Pancaindera ini sebenarnya mempunyai persamaan ketara dari aspek kebolehan berbahasa asing dalam meraikan pertembungan atau silang budaya yang menyaksikan Malaysia begitu kaya dengan elemen ini. 

Mengambil suasana dan kehangatan sambutan Hari Kebangsaan yang jatuh pada tarikh 31 Ogos semalam, Zubir Khan, Vannesa Reynauld dan Ceddy Ang, disatukan dalam sesi fotografi kali ini sebagai simbolik kepada penyatuan kaum dan budaya yang menjadi cerminan kepada keharmonian masyarakat kita. 

Menariknya, ketiga-tiga selebriti ini sangat bersahaja. Tidak kelihatan memaksa maksa untuk memaparkan identiti masing-masing di khalayak ramai tanpa perlu melupakan asal usul dan jati diri. 

Membuka ruang bicara bersama mereka, Pancaindera hidangkan perkongsian Zubir, Vanessa dan Ceddy mengenai kisah masing masing.

Kejayaan Yennode Macha, terjemahan erti merdeka

Enam tahun membina kerjaya sebagai penyanyi dan komposer, Zubir Khan, menganggap tuahnya dalam arena seni ini hadir kerana dia berkebolehan berbahasa Tamil dengan fasih sejak kecil.

Segala-galanya berlaku bagaikan satu magis apabila dia muncul dengan lagu Yennode Macha sekitar tahun lalu, yang kemudiannya menyaksikan namanya meniti di bibir semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan menjadi satu fenomena. Situasi itu nyata mengharukan Zubir.

Ini kerana untuk seorang anak kelahiran estet sepertinya, dunia glamor dan populariti bagaikan satu impian yang mungkin dianggap mustahil untuk dicapai.

“Mungkin inilah erti kebebasan dan kejayaan yang dapat saya kongsikan kalau bercakap mengenai makna merdeka itu bagi diri. Bayangkan, hanya kerana lagu dan muzik yang saya hasilkan, rupanya saya dapat menyatukan ramai orang tanpa mengira kaum dan usia. (tiada sebelah tangan).

“Cuma saya tidak mahu jadikan ia sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita dan berjaya,”ujarnya.

Berkongsi mengenai pengalamannya, penyanyi ini mengakui sebenarnya, ada ramai kalangan orang Melayu yang juga boleh berbahasa Tamil namun kemungkinan tidak mendapat pendedahan sepertinya.

“Selamanya saya akan kenangkan perkara ini kerana betul-betul tak sangka, lagu Yennode Macha disukai oleh semua lapisan masyarakat. Lagu itu mengenai persahabatan dan ia sangat mengena dengan keharmonian pelbagai kaum dalam negara kita.

“Bayangkan, saya ada tertengok di media sosial baru baru ini, kenduri kahwin orang Melayu, tetapi tuan rumah bawakan pemuzik India dan bermain alat muzik urumi dan lagu dimainkan adalah lagu saya. 

“Bukan itu sahaja, ada juga yang buat majlis hari lahir dan buat perkara serupa. Sekali lagi, lagu saya! Susah untuk saya ungkapkan, bagaimana bangga dan terharunya diri apabila ramai menghargai saya begini,”katanya.

Mengajak Zubir berkongsi mengenai punca dia boleh berbahasa Tamil, katanya mula fasih berbahasa itu ketika berusia 10 tahun. 

“Saya dan keluarga menetap di Estet Sepang Valley. Sewaktu kecil, saya cuma dapat faham sahaja apa yang rakan lain cakap sebab rata-rata mereka India. Saya belajar di sekolah kebangsaan jadi cuma belajar sendiri sahaja bahasa Tamil itu.

“Tak mudah juga awalnya, tetapi sebab minat, saya usaha sampai kemudiannya fasih. Tetapi, saya tidak pernah anggap diri hebat. Ada ramai lagi orang yang lebih hebat. Malah saya akui, diri pun ada kekurangan,” katanya.

Kenangan tak boleh dilupakan

Dalam pada itu, sengaja melayangkan pertanyaan mengenai memori yang tidak boleh dilupakan setelah meniti populariti kini, riak wajah Zubir seakan sedang memikirkan sesuatu.

Katanya, terlalu banyak memori yang tercipta khususnya sepanjang tahun ini dan bagi dirinya, semua amat berharga. Bagaimanapun, satu daripadanya kata Zubir adalah kenangan ketika menjadi artis pembuka untuk konsert penyanyi pujaannya dari India, Hip Hop Tamizha di Lapangan Terbang Sungai Besi.

“Salah seorang penyanyi yang saya minati ialah dia selain Anirudh Ravichander. Tamizha ada buat konsert di sini bulan lalu dan saya terharu apabila dijemput ke konsertnya.

“Sebelum itu, pada sidang media dia beritahu kepada semua dia mengagumi bakat dan lagu-lagu saya. Bayangkan, penyanyi dan komposer hebat sepertinya tentunya sudah ada nama besar di India, tetapi dia tahu mengenai saya.

“Bila dapat buat persembahan di hadapan 20,000 peminat dan dia pun peluk saya, itu bagi saya momen yang tak akan dilupakan. Menggigil juga saya, terasa macam tak percaya sebab selama ini hanya tengok dia di pawagam sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, kata Zubir, dia juga terharu kerana berasa sangat disayangi oleh peminat dan semua itu baginya adalah berkat doa ibu dan bapanya.

Ambil peluang promisi keistimewaan Malaysia – Vanessa Reynauld

Penyanyi, Vanessa Reynauld, tidak sekadar membawa impian sendiri ketika mewakili negara ke pentas Sing! China pada tahun lepas. Tetapi, penerima anugerah Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-23 itu sebenarnya membawa harapan dan semangat seluruh rakyat di negara ini ke pertandingan tersebut.

Berkongsi kepada Pancaindera, penyanyi bersuara lantang ini menceritakan pengalamannya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Timbul rasa bangga, tatkala menjadi satu-satunya penyanyi tempatan yang berjaya melepasi saringan, sekali gus berentap dengan 20 perserta akhir menerusi pertandingan itu.

“Pelbagai persoalan yang saya terima, kerana orang di sana hairan apabila melihat saya fasih berbahasa Mandarin meskipun rupa paras saya tidak kelihatan seperti orang Cina. 

 “Saya terangkan kepada mereka, saya anak Malaysia, membesar di Malaysia dan mendapat pendidikan di sekolah Mandarin.

“Dengan latar belakang darah campur dan kebolehan saya fasih berkomunikasi dalam tiga bahasa (Inggeris, Mandarin dan Melayu), saya berpandangan diri saya adalah pilihan yang betul untuk mewakili negara,” katanya.

Kata Vanessa, keberadaannya di China sepanjang pertandingan tersebut turut dimanfaatkan dengan mempromosikan budaya dan keunikan Malaysia yang mungkin masih kurang difahami masyarakat luar.

 “Saya selalu ceritakan kepada mereka tentang keunikan kita. Lebih-lebih lagi mengenai kepelbagaian budaya, tradisi, agama dan bangsa yang kita miliki.

“Dan yang selalu saya ceritakan adalah mengenai kepelbagaian makanan kita. Sebenarnya, kita ada pelbagai jenis makanan Cina yang lebih lazat berbanding makanan di negara China.

“Saya ada mengajak kenalan di sana untuk datang ke Malaysia dan mencuba pelbagai jenis makanan yang kita ada,” kongsinya.  

Menyinar di pentas dunia

Bercerita lanjut, penyanyi berdarah campuran India dan Cina ini mengakui bangga kerana diberi peluang mewakili negara di pentas dunia. Katanya, pengalaman yang ditimba sepanjang berada di negara orang menambah rasa cinta dan bangga sebagai anak Malaysia.

“Ke mana sahaja saya pergi, tidak kira China atau negara mana sekalipun, saya bawa nama negara.

“Walaupun pertandingan itu ditamatkan awal atas sebab-sebab tertentu, saya tetap bangga kerana sempat menjadi anak Malaysia yang berpeluang menunjukkan kebolehan di hadapan masyarakat China.

“Saya juga amat menghargai sokongan orang Malaysia dan rakan industri yang menyambut positif penyertaan saya dalam Sing! China. Ia momen yang amat berharga,” kongsinya.

Dalam pada itu, vanessa memaklumkan ada menerima tawaran untuk meluaskan kerjaya di China susulan penyertaannya dalam pertandingan berkenaan. Namun, fokus terarah untuk mengukuhkan kerjaya di Malaysia sebelum pergi ke peringkat lebih tinggi.

“Buat masa sekarang, tumpuan saya adalah untuk hasilkan lagu dalam bahasa Mandarin. Ia masih dalam perancangan.

“Dengan adanya lagu dalam bahasa tersebut, peluang lebih cerah untuk saya tembusi pasaran China,” jelasnya.

Makanan menyatikan kaum – Ceddy Ang

Bermula dengan memuat naik video ulasan makanan tiga tahun lalu, siapa sangka ia membawa tuah buat pengacara, Ceddy Ang. Setiap video yang memaparkan cadangan tempat makan yang jelas dan pandangan mengenai kualiti makanan mendapat jutaan tontonan di laman sosial.

Oleh itu, tidak hairanlah dia digelar CEO of Makan Makan di aplikasi TikTok. Jejaka asal Pulau Pinang ini fasih pelbagai bahasa. Karakter yang ramah baik di dalam mahupun di luar video membuatkannya senang didekati sekali gus mengumpul peminat daripada pelbagai bangsa terutama kaum Melayu.

Hasil permintaan ramai, Ceddy mula membantu pengikutnya mencari tempat makanan halal dengan kualiti tempat dan rasa makanan terbaik.

“Saya sendiri tidak sangka, majoritinya penyokong saya ialah orang Melayu. Mereka selalu tinggalkan komen suka melihat bagaimana cara bercerita dalam video.

“Apabila mereka cadangkan cari tempat makan berstatus halal, barulah saya tahu rupanya makanan dengan cop pengesahan itu lebih baik kerana menandakan tempat dan cara penyediaan dan tempat makanan dijual telah disahkan bersih,” katanya.

Tambah menarik, hubungan akrab dibina Ceddy menerusi akaun CeddyOrNot dengan pengikut di media sosial yang dipanggil ‘Sayangs’ turut membuatnya mula berpuasa di bulan Ramadan.

“Saya ingat lagi ramai yang ajak saya berpuasa di bulan Ramadan. Sebenarnya saya tidak rasa saya boleh buat. Tapi oleh sebab semakin ramai yang ajak, maka saya mula ‘cuba cuba’ dan rakam perjalanan saya berpuasa dan sahur.

“Waktu itulah saya belajar tips untuk tahan lapar semasa berpuasa seperti minum air rendaman kurma atau air nabeez. Paling terharu apabila saya terima respons daripada penonton yang tinggal seorang diri.

“Disebabkan mereka jauh dari keluarga, mereka kata video saya seperti membantu mereka menjalani Ramadan membuatkan mereka tidak rasa sunyi setiap kali sahur dan berbuka,” katanya.

Lantang bersuara

Pengacara Live+ The Hardest Singing Show itu bagaimanapun tidak mahu popularinya di laman sosial sekadar digunakan untuk berkongsi tentang makanan.

Ceddy turut menjadi antara yang lantang memperjuangkan isu semasa seperti mempertahankan hak warga Palestin dan mengecam keganasan yang berlaku di media sosial.

“Memang ada yang minta saya berhenti cakap tentang isu semasa dan fokus tentang makanan. Tapi sebagai seseorang yang mempunyai platform dan pengikut, saya rasa bertanggung jawab untuk bersuara tentang perkara kebenaran khususnya isu Palestin.

“Di Malaysia, walaupun kita berbeza pendapat, tapi rakyatnya masih memperjuangkan kebaikan. Sebab itu jika ada sesuatu yang mengajak ke arah keburukan seperti cadangan agar anak muda tidak masuk universiti, kita semua akan marah dan tegur.

“Negara kita kaya dengan budaya, saya suka bergaul dengan orang daripada pelbagai budaya. Saya berharap agar kita lebih terbuka belajar dan bergaul dengan semua kaum tidak kira Melayu, India, Cina, Sabah dan Sarawak.

“Inilah kekuatan kita, janganlah biar budaya ini mati,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×