LUMUT: Sepasang suami isteri di Manjung dekat sini membuktikan tanaman anggur yang biasanya dikaitkan dengan kawasan beriklim sejuk juga boleh hidup subur dan berbuah ditanam di negara ini.
Siti Saloma Saad, 60, yang mengusahakan kebun anggur di kawasan sebelah rumahnya yang dinamakan Saloma Vineyard & Nursery di Batu 7 1/2 Lekir di sini bersama suaminya, Shuhaimi Ishak, 60, sudah 18 tahun mengusahakan tanaman itu.
Ketika ini mereka sedang mengutip anggur yang berbuah di 20 batas pokok anggur dan berbuah berperingkat iaitu setiap empat bulan.
Satu batas pokok anggur boleh mengeluarkan hasil sehingga 80 kilogram (kg) dan dijual dengan harga RM40 sekilogram.
Buat masa ini terdapat 500 pokok anggur yang ditanam di Saloma Vineyard & Nursery.
Menurut pasangan itu, mereka mendapat idea menanam anggur di negara ini selepas melihat pokok anggur boleh hidup subur di Afrika Selatan meskipun cuaca panas.
Kata mereka, melihatkan keadaan itu, mereka yakin anggur juga boleh hidup di negara ini.
“Kami mula menanam anggur pada tahun 2006. Berdasarkan pengalaman 18 tahun dalam bidang ini, kami dapati musim panas memang memberikan hasil yang baik dan buah sangat manis.
“Ini bermakna sebenarnya tidak ada masalah jika anggur ditanam di negara beriklim panas seperti Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, setakat ini dia menanam lebih 500 pokok anggur daripada lebih 20 spesies.
Katanya, teknik pertanian moden turut membantu penghasilan buah anggur yang berkualiti seperti mengawal jumlah air, memberikan ruang tanaman tumbuh dan berbuah dan dibungkus dan mengelak serangan haiwan perosak seperti kulat. – UTUSAN










