BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan ‘ayam sabung’ masing-masing bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 28 September ini.
Walaupun berapa orang akan bertanding pada PRK tersebut hanya akan diketahui Sabtu ini, iaitu pada hari penamaan calon, namun persaingan ‘sebenar’ dijangka hanya melibatkan calon gabungan dua parti berkenaan.
Nyata, dua gabungan parti tersebut mempertaruhkan dua calon yang perbezaan ‘amat ketara’ dari segi umur, apabila BN mencalonkan anak muda berusia 40 tahun, manakala PN pula dengan pemimpin berusia 61 tahun.
Walaupun Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili BN, 21 tahun lebih muda, namun Mohamad Haizan Jaafar yang popular dengan panggilan ‘Coach Haizan’ tetap kelihatan masih bertenaga.

Berdasarkan penampilan, walaupun sudah boleh dianggap ‘warga emas’ namun Coach Haizan tetap cergas dan aktif dan tidaklah kelihatan terlalu ‘berusia’.
Justeru, kedua-dua calon mempunyai kelebihan masing-masing untuk memenangi hati pengundi DUN Mahkota.
Malah, kedua-dua calon merupakan pemimpin akar umbi yang sama-sama dikenali di daerah Kluang, terutamanya menerusi jawatan dalam parti dan pertubuhan bukan kerajaan yang disertai.
Sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien sentiasa mendekati masyarakat, khususnya golongan muda dalam pelbagai program yang dilaksanakan.
Malah, beliau amat dekat dengan golongan muda dan dilihat mempunyai kelebihan dalam menarik sokongan pengundi muda dan belia.
Seperti Syed Hussien, Coach Haizan turut dekat dengan golongan muda, khususnya menerusi aktiviti sukan, terutamanya bola sepak kerana merupakan bekas jurulatih skuad bola sepak daerah Kluang.
Malah, sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai calon PN, Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang itu menerima teriakan dan sorakan hebat daripada penyokong parti, terutamanya golongan muda.
Malah, laungan ‘Hidup Coach Haizan’ mengiringi beliau ke pentas utama di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Dahlia, Kampung Melayu Kluang, malam semalam.
Beliau juga aktif mendekati masyarakat menerusi NGO yang disertai.
Justeru, kedua-dua calon ada kelebihan dan kekuatan masing-masing untuk memenangi pengundi, khususnya generasi muda.
Namun, pilihan pengundi bukan terhad dengan faktor usia, namun yang utama adalah keupayaan dan kesungguhan calon menjaga kepentingan dan membawa suara rakyat yang diwakili mereka.
Berdasarkan daftar pengundi, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dan 81.80 peratus adalah pengundi berusia di bawah 60 tahun. – UTUSAN










