PETALING JAYA: Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob secara rasmi menyerahkan tampuk pemerintahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain sebagai Pemangku Panglima Tentera Laut.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan berkata, penyerahan itu diadakan dalam satu Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Laut di Auditorium Wisma Pertahanan di ibu negara hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Laksamana Tan Sri Abdul Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada 27 Januari 2023 dan akan mula bercuti mulai hari ini (1 Ogos 2024) sebelum bersara wajib pada 2 Disember 2024.
Abdul Rahman melakar sejarah tersendiri kerana beliau merupakan Submariner pertama dilantik sebagai Panglima Tentera Laut.-UTUSAN










