PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, satu pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk semalam bagi mengkaji dan meneliti isu tersebut secara menyeluruh.
Abd Halim berkata, siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Kelmarin, media melaporkam eFishery yang memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan, turut menjerat beberapa institusi pelaburan antarabangsa terkemuka termasuk Temasek Holdings (Singapura), SoftBank (Jepun), 42XFund (Emiriah Arab Bersatu) dan Northstar Group (Singapura).
Pada Julai 2023, KWAP dilaporkan melabur sebanyak AS$47.7 juta bersamaan kira-kira RM200 juta dalam syarikat itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan pelaburan eFishery dibuat setelah melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.
Beliau berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih bagi pertimbangan pelaburan.
Anwar berkata, langkah tegas daripada segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsortium pelaburan termasuk KWAP.
Katanya, KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci. – UTUSAN










