NEW DELHI: India melancarkan kereta api berkuasa hidrogen pertamanya semalam, sekali gus menyertai kumpulan kecil negara yang sedang menguji teknologi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menyahkarbonkan pengangkutan rel dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memodenkan antara rangkaian kereta api terbesar di dunia sambil mengurangkan pelepasan karbon.
Kereta api yang mempunyai 10 gerabak itu beroperasi di laluan sepanjang 89 kilometer antara Jind dan Sonipat di negeri Haryana, utara India, menggunakan sistem pendorongan sel bahan api hidrogen berkuasa 1,200 kilowatt.
Pegawai memaklumkan sistem berkenaan merupakan yang paling berkuasa di dunia bagi sebuah kereta api.
Kereta api hidrogen menggunakan sel bahan api untuk menjana elektrik melalui gabungan hidrogen dan oksigen, dengan hanya mengeluarkan air dan wap sebagai hasil sampingan.
“Ini merupakan hari yang amat penting ke arah India yang berdikari serta pembangunan mampan,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menyempurnakan pelepasan perjalanan sulung kereta api itu menerusi satu hantaran di media sosial.
Kementerian Kereta Api India memaklumkan pengangkutan tersebut dibangunkan sepenuhnya di negara itu, namun pegawai kanan memberitahu pemberita beberapa komponen utama, termasuk sel bahan api, masih diimport.
Kementerian itu turut merasmikan kemudahan penyimpanan dan pengisian semula hidrogen terbesar negara di Jind, yang mempunyai kapasiti kira-kira 3,000 kilogram bagi menyokong operasi kereta api berkuasa hidrogen.
Menurut seorang pegawai kanan kereta api, projek perintis itu menelan kos kira-kira AS$12 juta (RM49 juta), yang diakui jauh lebih tinggi berbanding perkhidmatan kereta api konvensional yang setanding.
Bagaimanapun, beliau berkata kos itu dijangka menurun apabila teknologi berkenaan semakin matang dan digunakan secara lebih meluas.
Dengan pelancaran itu, India menyertai negara seperti Jerman, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS) yang sedang menguji atau mengendalikan kereta api berkuasa hidrogen.
Sistem perkhidmatan kereta api India melalui perubahan besar sejak perkhidmatan kereta api wap penumpang pertama mula beroperasi dari Mumbai pada tahun 1853.- AFP










