REMBAU: Calon Pakatan Harapan (PH) yang berdepan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menyifatkan pertembungan itu sebagai perlawanan persahabatan dengan Barisan Nasional (BN).
Dr. Azizul Hakim Mahdi, 35, yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan berkata, ini kerana, kedua-dua gabungan itu merupakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berkata, penghormatan terhadap Mohamad yang telah menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 tidak akan menjejaskan kesungguhannya untuk memberikan saingan terbaik sepanjang tempoh berkempen.
“Sebenarnya ini boleh dikatakan juga seolah-olah perlawanan persahabatan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional. Sebab di peringkat Persekutuan, kita masih lagi Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai seorang doktor perubatan dan professional, saya akan cuba membawa kelainan di DUN Rantau. Saya ingin mengajak pengundi untuk memilih calon lebih muda, bertenaga dan profesional dalam bidang perubatan,” katanya selepas proses Penamaan Calon DUN Rantau di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.
Dr. Azizul Hakim berkata, isu perumahan di kawasan Sendayan serta kebajikan dan kesihatan penduduk kampung di Rantau menjadi antara keutamaannya.
Katanya, DUN Rantau mempunyai komposisi penduduk yang berbeza sehingga memerlukan pendekatan yang khusus mengikut keperluan setempat.
Beliau berkata, kawasan Sendayan yang pesat membangun dan didominasi kawasan perumahan berdepan beberapa isu utama termasuk pemilikan rumah, kesesakan lalu lintas serta kekurangan sekolah.
“Rantau mempunyai kawasan yang bercampur. Di sebelah utara ialah Sendayan yang lebih kepada kawasan taman dan bandar, manakala di sebelah selatan pula kebanyakannya kawasan kampung.
“Di Sendayan, kita melihat masih ada penduduk tempatan yang belum mampu memiliki rumah sendiri kerana banyak kediaman dibeli orang luar.
“Kita juga mahu menjadikan Sendayan sebagai kawasan yang lebih pintar dengan memberi perhatian kepada isu trafik serta pembinaan sekolah kerana jumlah rumah semakin bertambah, tetapi kemudahan pendidikan masih tidak mencukupi,” katanya. – UTUSAN










