BAGAN DATUK: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini semalam, ditemukan meninggal dunia apabila mayatnya ditemui terapung di sungai hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.59 pagi.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum mayatnya dibawa naik ke darat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pengesahan kematian sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kehilangan Mohd. Nor Firdaus Mohd. Mokhtar, 42, selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah pada pagi semalam.
Kehilangan mangsa disedari selepas sebuah motosikal Modenas Z15 GT yang dipercayai miliknya ditemukan ditinggalkan di bahu jalan di atas jambatan berkenaan.
Penemuan itu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada pukul 11.36 pagi. – UTUSAN










