KUALA LUMPUR: Saranan Speaker Dewan Rakyat untuk setiap kementerian menghantar usul Rang Undang-Undang (RUU) 14 hari lebih awal penting bagi memberi masa kepada 222 ahli Parlimen untuk mengkaji dan berbahas mengenai RUU tersebut.
Menurut peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, dalam hal ini, Akta Anti Lompat Parti perlu dijadikan pengajaran buat semua ahli Parlimen kerana masih terdapat kelompongan dalam pelaksanaan akta tersebut berikutan sikap tergesa-gesa sewaktu ia diluluskan.
“Saranan Speaker itu amat adil untuk membolehkan semua ahli Parlimen tahu RUU itu berkaitan apa dan apa pindaannya jika kementerian menghantar usul 14 hari lebih awal. Mereka boleh meneliti dan mengkaji jika usul berkenaan luar dari bidang masing-masing. dan sebaik sahaja tiba waktu perbahasan, bahas itu menjadi lebih matang, bukan karut.
“Itu yang diadu oleh ahli Parlimen selama ini, mereka tidak cukup masa untuk mengkaji sesuatu RUU yang dibentang. Lihat pada isu Akta Anti Lompat Parti, kerana sikap terburu-buru akhirnya ia menyalahi hasrat rakyat dan keadaan tetap menjadi caca merba, tetap berlaku wakil rakyat menyokong sana sini pula walaupun tidak lompat parti.
“Sepatutnya Akta Anti Lompat Parti itu perlu ditubuhkan satu jawatankuasa dan kemudian perlu dibuat kajian. Takkan kita nak lihat perkara yang sama berulang pada usul lain pula? Sebab itu penting kementerian membentangkan usul awal 14 hari seperti disarankan Speaker,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Ketua Setiausaha semua kementerian untuk mengemukakan RUU baharu atau pindaan RUU kepada Parlimen 14 hari lebih awal.
Katanya, langkah itu membolehkan Ahli Parlimen mempunyai lebih masa untuk meneliti dan mengkaji RUU sebelum dibahaskan di Parlimen.
Mengulas lanjut, sebagai langkah profesional dan demokrasi, Haniff turut menyarankan agar Speaker Dewan Rakyat mengeluarkan RUU kerajaan daripada senarai jika gagal mengemukakan usul 14 hari lebih awal.
“Jika perlu untuk buat pindaan mengenai perkara ini, buatlah. jika teruskan pun boleh.. ia tertakluk kepada peraturan dalam mesyuarat.
“Namun, umum mengetahui Speaker ini adalah kerusi politik, kalau buat saranan begini (usul kementerian perlu dikemuka 14 hari lebih awal), ia akan memberi tekanan kepada kementerian kerajaan walaupun Speaker itu adalah individu yang dilantik kerajaan.
“Maksudnya, jika ada kementerian yang tak mematuhi saranan diretapkan, Speaker boleh ‘buang’ usul tersebut dari senarai dan dibahaskan pada persidangan akan datang,” katanya. – UTUSAN










