MELAKA: Seorang ustaz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 36, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di bilik sebuah hotel di Melaka Tengah pada 18 Julai 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 15(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Pegawai pendakwa Inspektor Norhayati Yusof mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik selain akan dituduh di dua mahkamah lain selepas ini.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri dua kali seminggu ke balai polis berhampiran dan menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










