KUALA LUMPUR: Setiap percanggahan dalam UMNO tidak seharusnya ditonjolkan kepada umum sebaliknya perlu dibincang dan diselesaikan secara dalaman bagi menjaga keharmonian parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun menjadi kelaziman dalam meraikan perbezaan pendapat, setiap ahli harus berpegang kepada pendirian bahawa yang perbezaan itu tidak sewajarnya menjadi titik perpecahan dalam sesebuah parti.
“Bagaimana rakyat mahu meyakini UMNO kalau mereka melihat anggota sendiri bergaduh antara satu sama lain? Jadi, di sinilah saya harap apabila kita berhimpun begini, kita jangan lupa tujuannya adalah untuk membangunkan keakraban antara kita bahawa perhimpunan itu untuk memastikan adanya semangat persaudaraan, persahabatan, kesetiakawanan.
“Melalui perhimpunan itu, keakraban dibina dan semangat persahabatan yang datang dari satu Malaysia, kita bersaudara dan kita mempunyai sifat kesetiakawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO kali ini perlu fokus mengembalikan kesepaduan dalam kalangan ahli sekali gus menjadi tonggak untuk menarik kembali sokongan orang Melayu khususnya terhadap parti itu.
Menurutnya, kesepaduan itu perlu dizahirkan pada perhimpunan kali ini dan ia dilihat sebagai aspek terpenting yang perlu diperkemas semula supaya rakyat dapat menilai kembali kekuatan UMNO sebelum menghadapi pilihan raya akan datang.
“Memang benar UMNO mengamalkan demokrasi tetapi bukan bermakna kita mesti bercanggah pandangan dan perlu orang luar tahu tentang percanggahan itu. Dalam hal ini, perpaduan dan kesepaduan sangat penting supaya UMNO boleh tonjolkan imej yang baik kepada mereka.
“Kita di luar perlu tunjukkan bahawa kita ini satu dalam apa sahaja termasuk proses-proses yang dilalui. Apabila sudah dibuat keputusan, kita hormati walaupun mungkin tidak setuju dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










