Perolehan LMS, MRSS dimuktamad selepas RMK-13

Perolehan LMS, MRSS dimuktamad selepas RMK-13

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perolehan kapal pesisir pantai (LMS) Batch 3 dan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dari Itali hanya akan dimuktamadkan selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) hujung bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memutuskan keputusan permohonan perolehan aset dengan mengambil kira keperluan pertahanan yang perlu diberi keutamaan selepas pembentangan tersebut pada 31 Julai nanti.

Katanya, setakat ini Itali dan Perancis menyatakan kesediaan untuk menawarkan kemudahan kewangan sekiranya Malaysia membuat sebarang perolehan melibatkan aset yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan.

“Dalam lawatan ke Perancis dan Itali baru-baru ini, negara berkenaan menyatakan kesediaan untuk menawarkan kemudahan kewangan sekiranya Malaysia membuat sebarang perolehan melibatkan aset yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan.

“Ia supaya apa-apa soal kewangan tidak menjadi kekangan Malaysia untuk mendapatkan aset pertahanan. Namun, kita tunggu pembentangan RMK-13 yang dijangka pada 31 Julai nanti untuk mengetahui apa yang kerajaan setuju dan yang telah kita mohon untuk aset-aset penting,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025 di sini hari ini.

Ketika lawatan kerja ke Itali baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merancang untuk memperoleh beberapa aset pertahanan utama dari negara itu termasuk pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut dalam usaha memperkukuh keupayaan keselamatan negara.

Kata Mohamed Khaled, tawaran kemudahan kewangan itu merupakan isyarat komitmen Perancis dan Itali untuk menjadi rakan kongsi pertahanan dengan Malaysia, selain membantu negara ini mengatasi sebarang kekangan kewangan dalam proses perolehan aset pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, pendekatan perolehan secara rundingan terus antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) akan digunakan dalam perolehan aset dari Itali, sekiranya perolehan tersebut direalisasikan.

“Bila kita berurusan terus dengan kerajaan negara pengeluar, mereka menawarkan harga lebih baik, sebab tiada orang tengah, tiada margin tambahan yang perlu diambil kira.

“Kalau ikut tender pun, belum tentu kita dapat harga yang sama rendah, kerana tender melibatkan banyak pihak, kos tambahan serta kadang-kadang proses yang berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan memperkenalkan lima insiatif dalam memperkasa pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Inisiatif pertama adalah Program e-Perkasa SPM 2025 melibatkan 652 pelajar dari kalangan anak-anak ATM yang bersekolah di luar kem. Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Melalui program ini, pelajar terpilih dibekalkan dengan peranti secara percuma tajaan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) selaku penaja keseluruhan program,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN