UMNO Kota Raja mahu kerusi DUN Sungai Kandis - Utusan Malaysia

UMNO Kota Raja mahu kerusi DUN Sungai Kandis

Sungai Kandis
TENGKU Zafrul Aziz melihat pelan pembinaan dewan serbaguna terbuka Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjadi sasaran UMNO Bahagian Kota Raja jika diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua bahagiannya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kawasan tersebut disasar berikutan majoriti pengundi DUN berkenaan terdiri daripada kaum Melayu selain peluang untuk menguasainya selepas ini apabila penyandangnya cuma menang tipis pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Justeru, kita amat berharap salah satu daripada tiga DUN di Parlimen itu bakal ditandingi calon daripada UMNO.

“Ini kerana sokongan pengundi terutama kaum Melayu di kawasan berkenaan masih ada dan kuat kepada UMNO,” katanya selepas merasmikan program Mini MITIday dan majlis pecah tanah dewan serbaguna terbuka Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, UMNO Kota Raja memohon pucuk pimpinan parti itu memberikan satu kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Salah satu kerusi yang diminta itu sama ada DUN Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning atau Parlimen Kota Raja.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyokong cadangan itu yang disifatkan bersesuaian dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu,Tengku Zafrul memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang sedia mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Walaupun PRU dan PRN masih jauh, saya percaya persediaan awal perlu dilakukan jentera parti. UMNO turut komited membantu calon PH jika mereka tidak terpilih bertanding bagi menghormati kerjasama jitu ketika ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN