Tukang jahit raih RM8,000 jual baju tema kemerdekaan

Tukang jahit raih RM8,000 jual baju tema kemerdekaan

ZAMZURINA Abdul Kadir menunjukkan pakaian bertema kemerdekaan yang terdapat digerainya di Jerteh, Besut, kelmarin. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang tukang jahit meraih pendapatan empat kali ganda apabila menawarkan perkhidmatan menyewakan dan menjual pakaian bertemakan Kemerdekaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini.

Zamzurina Abdul Kadir, 45, ber­kata, dia tidak menang ta­ngan dan bersengkang ma­ta menyiapkan tempahan pel­bagai jenis pakaian dengan ga­bungan warna Jalur Gemilang.

“Dalam tempoh seminggu ini, saya raih jualan kira-kira RM2,000 dan dijangka mence­cah sehingga RM8,000 dalam tempoh sebulan hasil daripada jualan pelbagai je­nis pakaian bertemakan Kemer­de­kaan.

“Alhamdulillah, sebagai tukang jahit, walaupun keletihan, namun saya seronok kerana bulan kemerdekaan ini disifatkan waktu menerima ‘bonus tahunan’ apabila jumlah jualannya tinggi,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bandar Jerteh di sini, kelmarin.

Zamzurina berkata, dia sudah menyiapkan hampir 100 helai pakaian kanak-kanak dan dewasa dengan rekaan terbaharu iaitu kombinasi pakaian tradisional serta moden.

Jelasnya ibu kepada lapan cahaya mata itu, inisiatif ter­sebut dilakukan dengan me­ngambil kira peredaran fesyen semasa dan mengikut cita rasa pengguna masa kini.

“Pakaian itu dijual pada harga RM50 hingga RM250 sepasang dan perkhidmatan pakaian sewa pula berharga RM30 hingga RM150 bagi setiap persalinan lengkap,” ujarnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan pengalaman hampir lima tahun menjahit baju bertemakan kemerdekaan, tempahan pakaian tersebut meningkat pada Ogos hingga September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN