SHAH ALAM: Paras air tujuh empangan utama di Selangor berada pada tahap baik dan tidak terjejas susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, pemerhatian mendapati enam daripada empangan tersebut melebihi kapasiti 90 peratus sementara Semenyih pada paras 100 peratus, setakat semalam.
“Empangan Sungai Langat pula setakat ini berkapasiti 99 peratus diikuti Empangan Tasik Subang (98), Empangan Batu (95), Empangan Sungai Tinggi (94), Empangan Sungai Selangor (93).
“Hanya Empangan Klang Gate pada paras 80 peratus namun kesemua tujuh empangan itu mampu membekalkan air selama tiga bulan sekiranya tiada hujan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan takungan air di empangan dan tasik di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas dan berada pada tahap membimbangkan.
Malah, tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning akan dikategorikan kritikal jika jumlah takungan menyusut kepada 343,756 ekar kaki atau kira-kira 30 peratus.
Paras takungan tiga empangan utama itu berada pada tahap 45 peratus berbanding 47 peratus dan ia dijangka terus menyusut ekoran cuaca panas diramal berterusan sehingga pertengahan September ini.
Mengulas lanjut, Izham memberitahu, paras air di 34 muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor turut berada dalam keadaan baik bagi kelangsungan bekalan air negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Selain itu, kita mempunyai lebih 100 kolam takungan dan tasik sebagai sumber yang juga boleh membekalkan air lebih tiga bulan jika tiada hujan. Setakat ini, tiada berlaku penyusutan paras air ketara dan keadaan akan kritikal sekiranya di bawah paras 50 peratus,” ujarnya.
Tambah beliau, isu bekalan air yang terjejas di negeri ini belum melibatkan faktor kemarau namun akibat kekerapan kes pencemaran sungai. – UTUSAN










