Tuduh kerajaan diktator: Ambiga tidak berpijak di bumi nyata

Tuduh kerajaan diktator: Ambiga tidak berpijak di bumi nyata

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenyataan bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga Sreenevasan disifatkan sebagai tidak berpijak di bumi nyata kerana mendakwa kerajaan bersikap diktator kerana membuat kawalan kandungan internet dan melaksanakan pelesenan platform media sosial.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, semua pihak bebas menyatakan pandangan termasuk Pengerusi Bersih ketika ini, namun sebarang teguran yang mahu disampaikan mesti dilihat dalam konteks sebenar.

Malah, beliau meminta Ambiga membuat perbandingan bagaimana ‘cara layanan’ kerajaan hari ini dengan kerajaan terdahulu bertindak kepada pihak-pihak yang melakukan demonstrasi.

“Itu kenyataan hiperbola, tidak berpijak di bumi nyata. Bukan kerajaan ini yang lakukan Op Lalang, bukan kerajaan ini bertindak memukul demonstran, malah baru-baru ini sekumpulan demonstran membuat demonstrasi di depan pusat khidmat Perdana Menteri di Tambun.

“Mereka tidak disambut dengan cota dan gas pemedih mata, tetapi mereka diberikan air dan roti. Kalau berdasarkan perkara seperti ini, maka mereka berpandangan seperti itu, beliau ada hak menyatakan pandangan tapi teguran diberikan termasuk Pengerusi Bersih sekarang pun dan individu lain mesti lihat dalam konteks sedia ada.

“Saya tak setuju pandangan beliau, saya jemput beliau meneliti semula sejarah perjuangan termasuk sesi himpunan Bersih yang beliau mengepalai bagaimana mereka yang membuat protes dilakukan, keadaan itu tak wujud langsung sekarang. Dia salah target, mungkin pemimpin dahulu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di sini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menjelaskan, perbincangan bersama semua penyedia platform media sosial berhubung Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu bermula seawal Februari lalu.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung dan berbincang dengan semua platform media sosial, malah 79 organisasi berkaitan dijemput termasuk badan-badan pemikir yang cenderung kepada parti pembangkang, namun hanya 27 pihak yang hadir.

Katanya, gerakan Bersih juga dijemput tetapi mereka tidak hadir termasuk Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).

“Semua maklum balas disampaikan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan hak asasi manusia, malah individu dijemput menyampaikan pandangan.

“Ini bukti kerajaan terbuka menerima pandangan kritikan membangun, kita perlu mengimbangi keperluan hak rakyat bersuara dan hak mengguna dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, hak rakyat untuk bersuara kekal terjamin seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tetapi pada masa sama kerajaan perlu memastikan undang-undang sedia ada terpakai dan tidak berlaku pelanggaran.

“Jadi, masalah ini seperti scam, buli siber dan jenayah seks kanak-kanak dan kerisauan pedofilia ini kita tegaskan platform wajib ambil tindakan, kita tak kekang hak rakyat bersuara malah rakyat masih boleh teruskan, tak menjadi isu. Ia adalah perkara yang disebutkan tidak boleh berlaku pelanggaran undang-undang.

“Bukan saja bekerjasama secara tulus hati tapi berpandukan hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang perlu dihormati. Platform ini mendapat keuntungan besar dari Malaysia adakah mereka tidak perlu patuh kepada undang-undang negara kita? Mereka wajib patuh,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN