Elak masuk kawasan banjir, risiko kenderaan terperangkap - Bomba

Elak masuk kawasan banjir, risiko kenderaan terperangkap – Bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai khususnya pemandu kenderaan diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika hujan lebat dengan merancang perjalanan lebih awal dan tidak memasuki kawasan banjir yang berisiko menyebabkan kenderaan terperangkap.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pemandu perlu mengutamakan keselamatan dan mencari laluan alternatif sekiranya berdepan jalan yang dilanda banjir.

Katanya, kedalaman air dan keadaan permukaan jalan sukar dikenal pasti ketika banjir, sekali gus boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan atau enjinnya dimasuki air.

“Pemandu diminta merancang perjalanan ketika musim hujan dan jangan sesekali cuba meredah banjir yang dalam.

“Kenderaan boleh tersangkut dan pemilik pula terpaksa menanggung kos besar untuk membaiki atau melakukan overhaul enjin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan pemandu supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko semata-mata mahu meneruskan perjalanan.

Nasihat itu dikeluarkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya, dekat sini, petang tadi.

Antaranya Medan Selera 223 yang dinaiki air sedalam dua meter selain beberapa kereta ditenggelami banjir berhampiran ibu pejabat Amway Malaysia di Seksyen 51A.

Tiada mangsa atau pemindahan dilaporkan manakala paras air menunjukkan trend menurun ketika pasukan bomba tiba.

Ashrul Riezal turut menasihatkan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam banjir supaya segera menghubungi talian kecemasan dan tidak cuba menyelamatkan diri tanpa bantuan sekiranya arus deras atau paras air terus meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN