PETALING JAYA: Banjir yang melanda Medan Selera 223, Seksyen 51A di sini susulan hujan lebat petang tadi dilaporkan telah surut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya tiba di lokasi pada pukul 4.55 petang dengan jarak kira-kira empat kilometer.
“Setiba di lokasi terdapat banjir berkedalaman kira-kira dua meter. Bagaimanapun, paras air menunjukkan trend menurun.
“Tiada mangsa terlibat atau pemindahan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi itu membabitkan 12 anggota termasuk seorang Pegawai Bomba Kanan I, seorang Pegawai Bomba Kanan II dan lima anggota bomba, dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Keadaan terkini di lokasi terkawal dan pemantauan diteruskan susulan hujan lebat yang berlaku,” jelasnya. – UTUSAN









