DUBAI: Arab Saudi bakal menyaksikan fenomena astronomi paling luar biasa apabila gerhana matahari penuh dan paling lama abad ini dijadualkan merentasi sebahagian besar negara itu pada Ogos tahun depan.
Fenomena itu dijangka menyelubungi sebahagian kawasan di barat dan selatan Arab Saudi dalam kegelapan selama hampir enam minit pada 2 Ogos 2027, tempoh yang luar biasa panjang dan memberi peluang kepada saintis serta peminat astronomi mengkaji korona matahari dengan lebih terperinci.
Menurut Agensi Angkasa Arab Saudi, bandar seperti Abha dijangka mengalami gerhana penuh sehingga enam minit. Jeddah dan beberapa kawasan di pesisir pantai barat dijangka berada dalam kegelapan selama kira-kira lima minit 50 saat.
Agensi itu berkata, fenomena itu bakal meletakkan Arab Saudi sebagai antara lokasi terbaik di dunia untuk menyaksikan dan mendokumentasikan gerhana matahari penuh.
Negara jiran, Mesir juga diramalkan mengalami tempoh gerhana maksimum.
Agensi Angkasa Arab Saudi turut menggesa orang ramai agar mengamati fenomena itu secara selamat serta memberi amaran supaya tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan cermin mata khas gerhana yang diperakui atau peralatan penapis cahaya.
Presiden Persatuan Astronomi Jeddah, Majed Abu Zahra berkata, laluan gerhana penuh itu akan bermula di pesisir Laut Merah sebelum merentasi puluhan bandar dan wilayah termasuk Mekah, Jeddah, Taif, Al Baha, Khamis Mushait, Jazan dan Najran.
Sepanjang tempoh gerhana penuh, suasana siang dijangka bertukar seakan waktu senja, suhu menurun dengan ketara, manakala korona matahari akan dapat dilihat dengan jelas. – AGENSI










