SABAK BERNAM: Selangor mempunyai tarikan tersendiri selain sering menjadi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa membolehkan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 dijayakan walaupun wujud kecenderungan warga negara ini melancong ke Thailand.
Bagaimanapun, kecenderungan yang menjadi trend itu tidak menjejaskan TMS 2025 kerana kedua-dua lokasi itu mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, beliau yakin dengan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ diyakini mampu meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini dengan menawarkan banyak tempat pelancongan dan pelbagai tawaran menarik.
“Kita tahu memang ada sebahagian pelancong pergi bercuti ke Hatyai kerana mereka mendakwa makanan, hotel, cenderamata di sana lebih murah dan sebagainya.
“Namun, trend melancong ke Selangor juga tidak kurang hebatnya kerana kita menawarkan banyak percutian menarik untuk pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Kemajuan Pelancong Sekinchan (PKPS) dan Pengumuman Pelancongan Sekinchan, baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Selangor dijangka menerima lonjakan kemasukan pelancong lebih 28 juta orang sempena tahun melawat negeri itu pada tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menolak lonjakan tersebut namun menunggu maklumat daripada pembentangan perancangan TMS 2025 daripada Tourism Selangor yang dijangka dibuat pada suku ketiga tahun ini.
Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan kerajaan negeri sedang merancang untuk membina hotel bertaraf empat atau lima bintang di Sekinchan yang terkenal sebagai pusat agro pelancongan di negeri ini.
“Industri agro pelancongan di Sekinchan semakin berkembang dan menjadi tumpuan pengunjung. Terdapat keperluan mendesak bagi membangunkan hotel mewah yang mampu menarik pelancong antarabangsa.
“Mereka (pelancong) ingin datang ke Sekinchan dan bermalam di sini, kerana tarikan pemandangan sawah padi dan produk pelancongannya,” ujarnya. – UTUSAN










