‘Tidak mahu komen, takut saya jadi calon’

‘Tidak mahu komen, takut saya jadi calon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday enggan mengulas cadangan supaya Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah di­pilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Katanya, cadangan itu tidak sesuai untuk diulas kerana ‘mungkin’ wujud peluang bagi beliau menjadi calon bagi DUN tersebut.

“Saya ingat tidak sesuai untuk saya komen, nanti tiba-tiba saya pula jadi calon,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Syed Hussein sebagai calon PRK DUN Mahkota.

Usul tambahan itu dicadang­kan Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika menangguhkan ucapan sayap Pemuda Perhimpunan Agung UMNO.

Akmal meminta usul tersebut dibawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ke mesyuarat.

Md. Jais berkata, tiada isu atau masalah kepada sebarang keputusan berkenaan yang diputuskan MKT UMNO me­ngenai calon yang bakal menjadi pilihan parti itu.

“Biarlah MKT yang buat keputusan, lagipun tiada masalah untuk bekerjasama kerana kita semua dalam pasukan yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN