PETALING JAYA: Pakar-pakar hartanah berpandangan sukar untuk kerajaan menukarkan tanah yang mempunyai nilai sama dengan Duta Enclave, untuk diberi kepada syarikat Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. sebagai penyelesaian pertikaian hak milik tanah berkenaan.
Profesor Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah berkata, tanah Duta Enclave adalah antara bahagian utama (prime part) di negara ini yang mempunyai harga hartanah paling tinggi di samping lokasi yang strategik.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mencari keluasan tanah yang jauh lebih tinggi berbanding tanah Duta Enclave yang berkeluasan 106.542 hektar untuk ‘dilupus’ kepada Semantan Estate.
SUKAR
“Sebenarnya, sangat sukar untuk kerajaan mencari tanah yang nilainya sama kerana Duta Enclave itu nilainya sangat tinggi. Jika mahu juga nilai yang sama maka, kerajaan kena cari keluasan tanah yang jauh lebih tinggi.
“Tetapi, apakah dengan cara ini berbaloi dan kerajaan menanggung rugi? Lebih baik serahkan semula tanah ini kepada Semantan Estate,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Jamalunlaili berkata, apa sahaja pilihan yang ada, kaedah guna tanah mesti mengikut Rancangan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang digazetkan dan Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang di peringkat akhir.
“Tanah itu sudah dizonkan mengikuti kawasan untuk institusi iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan kemudahan lain. Jika tanah dipindah milik pun, tidak boleh sewenang-wenangnya untuk buat apa-apa, mesti rujuk kepada rancangan tersebut sehingga ada rancangan baharu iaitu pada 2040,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan, menukar tanah sama nilai dengan Duta Enclave antara pilihan bagi menyelesaikan kes tanah milik Semantan Estate yang menang tuntutannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perancang Bandar dan Penilai Hartanah Berdaftar, TPr. Mohd. Anuar A. Wahab berkata, penggantian itu bagaimanapun memerlukan kajian lanjut kerana tanah di Jalan Duta bukan sahaja bernilai tinggi, malah mempunyai keistimewaan lain.
Kerajaan sudah memfailkan notis rayuan secara dalam talian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
PEMBANGUNAN
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar tidak menolak kemungkinan Semantan Estate akan menggunakan tanah Duta Enclave untuk tujuan pembangunan jika proses pertukaran nama pemilih tanah selesai.
Katanya, bangunan awam sedia ada boleh diroboh dan dibina semula atau disewakan di pasaran, malah di bawah Sistem Torrens membolehkan pemilik mengambil apa jua tindakan mengikut undang-undang.
“Sudah tentu. Biasanya pemilik akan menggunakan tanah mereka yang mempunyai tinggi di lokasi strategik untuk maksud pembangunan pada tahap tertinggi dan terbaik terutama baki tanah yang masih belum dibina apa-apa pembangunan.
“Mereka boleh jual tanah itu kepada sesiapa sahaja termasuk kerajaan dengan harga pasaran terbuka atau memajukannya secara kerjasama dengan pihak yang berminat,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Anuar berkata, sukar untuk Semantan Estate menjalankan aktiviti pembangunan di tanah sedia ada tanpa pengezonan semula dan persetujuan kerajaan. – UTUSAN










