KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) terpaksa akur berkongsi mata dengan Sri Pahang selepas aksi derbi Pantai Timur berakhir seri 1-1, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Ketua pasukan, Stefano Brundo, muncul penyelamat Sri Pahang selepas menanduk bola sepakan sudut pada minit ke-93 untuk membolehkan mereka pulang ke Kuantan dengan satu mata.
Awal permainan menyaksikan tidak banyak gerakan direncana kedua-dua pasukan cuma TFC terlebih dahulu menguji kubu pelawat menerusi sepakan bebas Marin Pilj minit kelima.
Permainan terus hambar sehingga menuju penghujung separuh masa apabila sepakan percuma Sergio Aguero minit ke-44 ditepis keluar penjaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin.
TFC terpaksa menanti minit kedua masa tambahan selepas bola hantaran Ubaidullah Shamsul Fazili singgah di kaki Nurillo Tukhtasinov yang melakukan percubaan tepat untuk memecahkan kebuntuan.
Permainan lebih rancak ditunjukkan pada babak kedua menyaksikan percubaan Akhyar Rashid (m-48) yang melakukan larian solo dari sebelah kiri sekadar menggegar jaring tepi.
Peluang terbaik Sri Pahang menyamakan kedudukan hadir minit ke-52 namun tandukan Adam Nor Azlin hasil sepakan sudut Aguero ditangkap kemas penjaga gol TFC.
Tuan rumah perlu menyalahkan diri sendiri apabila Nik Shariff Haseefy Mohd. Lazim (m-85) dan Ubaidullah Shamsul (m-87) mensia-siakan peluang berhadapan penjaga gol pelawat.
Ketika aksi memasuki masa tambahan, Brundo menjadi wira menyambar sepakan sudut Muhd. Baqiudin Shamsudin sekaligus mengecewakan lebih 5,000 peminat setia TFC
Keputusan 1-1 menyaksikan TFC memungut 15 mata daripada lapan perlawanan di tempat ketiga manakala Sri Pahang mengumpul tujuh mata di kedudukan kesembilan. – UTUSAN










