SEAWAL usia 13 tahun, Taanusiya Chetty sudah membayangkan dirinya berdiri di pentas Miss World.
Dengan gaun labuh mempesona, mahkota di atas kepala dan lambaian lembut seorang ratu.
Keinginan untuk menyertai pertandingan ratu cantik dunia itu tercetus selepas melihat anak patung Barbie yang menampilkan wajah jelitawan Bollywood, Aishwarya Rai.
Sejak kecil, beliau sememangnya gemar mengumpul anak patung tersebut dan mempunyai banyak koleksi di rumah.
Apa tidaknya, setiap kali tiba hari lahir, ibu bapanya akan menghadiahkan Barbie kepadanya.

Namun, Barbie Aishwarya menjadi antara koleksi yang paling menarik perhatian dan kekal dalam ingatannya.
Ketika itu, Taanusiya belum mengetahui apa-apa tentang Miss World sehinggalah ibunya menerangkan mengenai pertandingan tersebut.
“Selepas mendengar penerangan ibu, saya terus cakap mahu berada di pentas sama suatu hari nanti.
“Tetapi pesan ibu perjalanan ke tahap itu tidak mudah kerana gelaran ratu cantik bukan semata-mata tentang rupa paras, malah turut membawa tanggungjawab besar terhadap masyarakat.
“Daripada situ, saya mula memahami yang pengiktrifaran tersebut boleh digunakan untuk menyampaikan mesej positif, memberi inspirasi dan membawa manfaat kepada orang lain, seperti yang dilakukan Aishwarya menerusi inisiatif Beauty With A Purpose,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Kini, selepas 13 tahun menyimpan impian itu, beliau bukan sahaja berjaya menjejakkan kaki ke pentas Miss World, malah melakar pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga pada edisi ke-73 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam.
Pencapaian tersebut menyamai rekod Lina Teoh dalam Miss World 1998, hampir tiga dekad lalu.
Taanusiya turut dinobatkan sebagai Miss World Asia 2026, selain menerima anugerah global Beauty With A Purpose hasil inisiatif Be The Change Malaysia yang diterajuinya.
Terdahulu, beliau memulakan langkah dalam dunia ratu cantik pada usia 18 tahun menerusi Miss Grand Kuala Lumpur 2018.
Perjalanan itu diteruskan dengan penyertaan dalam Miss Global Malaysia 2023 sebelum merangkul mahkota Miss World Malaysia pada tahun berikutnya.
“Perancangan asal saya adalah untuk menyertai Miss World Malaysia selepas tamat tingkatan lima, tetapi ketika itu saya belum cukup matang dan masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Pendidikan tetap di hati
Komitmen sebagai ratu cantik menuntutnya memberi tumpuan kepada pelbagai tanggungjawab di seluruh dunia.
Keadaan itu secara tidak langsung membataskan ruangnya untuk kembali ke sekolah dan mengajar buat masa ini.
“Sekarang saya masih terikat dengan kontrak dan perlu menyertai siri jelajah Beauty With A Purpose di beberapa negara sepanjang tahun ini.
“Dalam masa terdekat, saya akan ke Tanzania dan beberapa negara Afrika lain,” katanya.
Namun, semangat Taanusiya terhadap dunia pendidikan tetap diteruskan melalui Be The Change Malaysia yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni.
Organisasi yang ditubuhkan pada April 2022 itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kanak-kanak dan golongan muda yang memerlukan, khususnya di kawasan pedalaman serta komuniti Orang Asli.
Antara projek yang pernah dirintisnya ialah penubuhan sekolah dalam hospital pertama di Malaysia untuk kanak-kanak Orang Asli di Hospital Gombak.
Taanusiya turut merancang melaksanakan satu lagi projek pendidikan di kawasan pedalaman Sabah, khususnya di Kampung Sonsogon, Kota Marudu.
“Dengan projek ini, sekurang-kurangnya orang akan terus mengingati saya sebagai seorang cikgu walaupun tidak berpeluang untuk mengajar,” katanya yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Intai dunia lakonan
Pentas ratu cantik telah melahirkan ramai nama besar dalam dunia lakonan, antaranya Tan Sri Michelle Yeoh, Aishwarya Rai, Halle Berry dan Priyanka Chopra.
Taanusiya juga tidak menolak kemungkinan untuk meneroka laluan sama sambil meneruskan kerja kemasyarakatan yang menjadi keutamaannya.
Bagaimanapun, beliau sedar bidang itu memerlukan persediaan rapi selain usaha dan komitmen yang tinggi.
“Kalau ada peluang, saya teringin berlakon, mungkin dengan watak kecil atau siri drama terlebih dahulu.
“Namun, sebelum itu tentunya saya perlu mengikuti kelas lakonan dan belajar selok-belok bidang ini,” katanya.
Selain lakonan, Taanusiya turut meminati muzik dan berkebolehan bermain piano.
Minatnya terhadap seni turut diteruskan menerusi tarian silat yang dipelajarinya selama kira-kira 10 bulan ketika menyertai Miss World.
Dalam pada itu, beliau turut berhasrat mewujudkan platform khas untuk memberi inspirasi dan memperkasakan lebih ramai wanita, terutama dalam aspek kecantikan, fizikal dan kecergasan.

Pengalaman dibuli
Taanusiya juga tidak terlepas daripada ejekan sejak di bangku sekolah, termasuk berkaitan rupa dan latar belakangnya sebagai seorang berketurunan India.
“Ketika menuntut di sekolah Cina, saya pernah dipanggil ‘mata sepet’ dan setiap kali saya lalu, kawan-kawan menyindir ‘awak ingat awak cantik?’
“Saya tidak terlalu mengambil hati dan menganggap tindakan itu sebagai kebudak-budakan,” katanya.
Pengalaman tersebut berulang ketika menyertai Miss World apabila pelbagai komen negatif diterimanya di media sosial.
Lebih-lebih lagi apabila Malaysia belum diumumkan dalam mana-mana acara Fast Track sehingga malam terakhir pertandingan.
“Antara teguran itu termasuklah, ‘awak ke sana bukan untuk bercuti, tingkatkan lagi usaha dan prestasi’.
“Sedikit sebanyak saya jadi tertanya-tanya sama ada diri belum cukup baik. Mujurlah keluarga dan pasukan sentiasa memberikan sokongan serta motivasi.
“Bukan itu sahaja, apabila berkongsi gambar di media sosial, ada sahaja yang menegur hal-hal kecil berkaitan penampilan saya,” katanya.
Situasi tersebut membuatkan Taanusiya lebih memahami pentingnya mengawal emosi dan tidak membiarkan pandangan orang lain mempengaruhi keyakinan diri.
“Paling penting, kita kena sentiasa percayakan diri dan jika terlalu terbeban, kongsikan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan untuk bantuan,” kata jelitawan berketinggian 173 sentimeter ini.












