GUA MUSANG: Kerajaan akan menyelesaikan isu pembahagian tanah peneroka dan peserta di bawah semua agensi milik lembaga kemajuan wilayah secara faraid bagi mengelak pertikaian dan sebarang masalah pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini, semua hak milik tanah diberikan kepada anak sulung sebagai waris.
“Dari segi pemilikan tanah, kita tidak mahu mengulangi kesilapan di mana sebelum ini pewaris adalah anak sulung kepada peneroka yang meninggal. Selepas ini, pembahagian akan dilakukan secara faraid.
KELUARGA
“Perkara ini sedang kita lakukan kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah dalam keluarga terutama mereka yang mempunyai lebih seorang anak,” katanya pada sidang media selepas Program Temu Mata Masyarakat Jeram Tekoh, di sini, semalam.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu akan disegerakan supaya pelaksanaannya juga dapat disegerakan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, tanah milikan lembaga kemajuan wilayah membabitkan beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felda yang sudah dibayar premium adalah milik agensi berkenaan, bukannya kerajaan negeri.
Katanya, hal ini kerana ada dakwaan mengatakan tanah milikan lembaga kemajuan wilayah adalah milik kerajaan negeri.
PREMIUM
“Hakikatnya, Kanun Tanah Negara menentukan mana-mana tanah yang sudah dibayar premium dan gerannya diletakkan di bawah lembaga kemajuan wilayah, itu bermakna tanah berkenaan bukan lagi milik kerajaan negeri.
“Hak untuk mengagihkan tanah berkenaan adalah hak agensi-agensi berkenaan. Justeru, saya berharap peserta dan peneroka tidak termakan dengan kenyataan pihak yang sengaja mahu menimbulkan kekeliruan,” tegas beliau.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan isu berkaitan pemilikan rumah untuk generasi kedua, ketiga peneroka dan peserta di seluruh lembaga kemajuan wilayah akan diselesaikan segera.
“Perkara ini sedang dan ada yang sudah diselesaikan termasuk di kawasan Kesedar dan Felda,’’ katanya.
Mengenai peruntukan Kanun Tanah Negara bahawa hanya sebuah rumah boleh didirikan di atas satu lot tanah, beliau berkata, kaedah tertentu termasuk pecah lot akan dilakukan supaya generasi kedua dan ketiga boleh mendirikan rumah.
Katanya, kerajaan juga cuba mengelak berlakunya pertindihan lot yang sama atas nama orang lain seperti yang pernah berlaku sebelum ini. – UTUSAN










