KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan tempoh tambahan kira-kira sebulan kepada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengisytiharkan aset mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-duanya mempunyai tempoh sehingga pertengahan September ini untuk berbuat demikian.
“Kita sudah beri masa kepada kedua-dua mereka yang berakhir pada pertengahan September ini.
“Itu keputusan akhir, selepas mereka isytihar harta nanti, kami akan beri perkembangan kepada pihak media,” katanya selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di sini, hari ini.
Yang hadir sama Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.
Menurut Azam, pihaknya menunggu sehingga September ini sebelum menentukan tindakan seterusnya.
“Jika mereka gagal patuh, SPRM ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Pada Mei lalu, SPRM bersetuju memberi lanjutan masa kepada Mirzan dan adiknya, Tan Sri Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing.
Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari lalu mengisytiharkan aset mereka sejak 1981.
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora serta Kertas Panama.
SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan itu dan siasatan masih dijalankan. – UTUSAN









