Kes pemindahan DAK: Masyarakat perlu fahami proses siasatan SPRM

Kes pemindahan DAK: Masyarakat perlu fahami proses siasatan SPRM

AHMAD ROSLI MOHD. SHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat diminta memahami perbezaan antara siasatan dan tangkapan susulan isu pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat, ke Jepun yang mencetuskan pelbagai persoalan mengenai tindakan diambil Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Rosli Mohd. Sham berkata, siasatan tidak semestinya membawa kepada tangkapan kerana penahanan hanya dibuat berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh sepanjang proses siasatan.

“Secara asas dari segi undang-undang siasatan dimulakan selepas menerima maklumat samada melalui aduan atau dikesan oleh pihak penguatkuasa itu sendiri.

“Tangkapan pula dibuat berasaskan tiga asas utama iaitu maklumat yang boleh dipercayai, syak yang munasabah atau aduan yang munasabah,” katanya di sini hari ini.

Beliay berkata demikian selepas mengulas persoalan Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PKAM) mengenai ketulusan SPRM dalam siasatan berhubung isu pemindahan DAK ke Jepun.

Jelasnya, adalah tidak wajar untuk menganggap keseluruhan jabatan atau kementerian dianggap bersalah atas sangkaan semata-mata dan semuanya harus ditangkap termasuk ketua jabatan dan menteri. 

“Ketua jabatan atau penyelia juga boleh dikelirukan oleh pihak yang melakukan penyelewengan dan tidak menyedari berlaku pelanggaran undang-undang oleh pegawai.

“Dalam kes berkenaan belum diketahui sama ada pihak pengurusan tertinggi mengetahui, merestui atau terlibat dalam sebarang salahlaku kerana siasatan masih berjalan dan belum selesai,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah menyatakan bahawa siasatan adalah meliputi aliran transaksi kewangan dalam proses pemindahan gajah berkenaan.

“Ini bermakna pegawai jabatan yang terbabit telah disiasat bagi mencari keterangan sama ada telah berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam transaksi-transaksi berkaitan. 

“Saya percaya mereka ditangkap kerana ada asas dari segi keterangan untuk disyaki secara munasabah telah melakukan pelanggaran undang-undang namun semua pihak tetap berhak kepada anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah,” ujarnya.

Tambah beliau, memandangkan siasatan masih berjalan, semua pihak berkepentingan wajar mengelakkan kenyataan spekulatif yang boleh mengganggu siasatan, mempengaruhi saksi atau menjejaskan reputasi individu yang belum dibuktikan bersalah. 

“Sangkaan dan tohmahan tanpa sebarang asas adalah tidak membantu siasatan dan boleh menjejaskan siasatan itu sendiri,” katanya.

Ahmad Rosli berkata, campur tangan dalam siasatan juga boleh membawa kepada kesalahan mengganggu atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas maka ia adalah satu kesalahan jenayah 

“Oleh itu, SPRM atau mana-mana agensi penguat kuasa perlu diberikan ruang untuk membuat siasatan bagi mengumpul bukti dan beri kerjasama sekiranya boleh membantu.

“Sekiranya ada keterangan yang boleh membuktikan  mana-mana pegawai, ketua jabatan atau  kementerian melakukan pelanggaran undang-undang maka mereka akan didakwa sebagaimana diperuntukan oleh undang-undang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN