PETALING JAYA : Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan sebuah dewan berjumlah kira-kira RM2 juta.
Penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh dari Kementerian Kewangan untuk pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di Sabah.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini,” jelasnya. – UTUSAN










