SPRM ke pejabat KWAP dapatkan dokumen pelaburan eFishery

SPRM ke pejabat KWAP dapatkan dokumen pelaburan eFishery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai hadir ke pejabat Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di Cyberjaya bagi menjalankan siasatan berhubung pelaburan RM163 juta yang dikaitkan dengan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Difahamkan, tindakan itu bagi mendapatkan dokumen berkaitan bagi siasatan kes tersebut. 

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan siasatan itu pada petang ini. 

Pada 18 Julai lalu, media melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM163 juta oleh KWAP dalam eFishery.

Abd Halim dilaporkan berkata, satu pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM dibentuk bagi mengkaji dan meneliti isu berkenaan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang eFishery susulan manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan syarikat itu.

Kementerian itu berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP sudah mengambil langkah tegas seperti tindakan undang-undang, usaha pemulihan dana, melaksanakan semakan tatakelola dalaman dan memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.

Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar.

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira USD47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN