KULAI: Pemandu sebuah bas ekspres tidak sempat memperlahankan kenderaan menyebabkannya merempuh belakang sebuah lori sebelum melanggar sebuah lori lain dalam kejadian di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, awal pagi.
Kemalangan menyebabkan pemandu bas berusia 48 tahun maut dalam keadaan tersepit di ruang tempat duduk.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan kira-kira 2.30 pagi itu turut menyebabkan 11 penumpang bas dan seorang pemandu lori cedera.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur membawa penumpang menuju Larkin Sentral.
“Sewaktu lalu lintas bergerak perlahan, pemandu bas itu dipercayai tidak sempat memperlahankan kenderaan dan melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan, menyebabkan lori itu bergerak ke hadapan dan melanggar bahagian belakang lori jenis Scania.
“Kemalangan menyebabkan pemandu bas cedera parah diseluruh bahagian badan dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian, katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada pemandu bas itu berada dalam keadaan microsleep yang menjadi punca kemalangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN







