MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk mengemukakan sebarang bukti kepada UMNO berhubung tindakannya menyertai Pas sejak 2023.
Menurutnya, tiada apa yang perlu diperjelaskan mengenai status keahliannya dalam Pas kerana telah diumumkan secara terbuka melalui sidang akhbar di Parlimen, Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.
Ditanya kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum tentang keputusan berkenaan status kerusi DUN Rembia telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, 16 Ogos lalu dan bakal diumumkan pada Sidang DUN akan datang, beliau berkata, ia merupakan bidang kuasa Yang Dipertua DUN.
“Biarlah mereka buat keputusan. Saya pilih untuk tidak menjawab kepada UMNO, kerana pengumuman telah dilakukan secara terbuka melalui sidang akhbar.
“Malah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri yang menjelaskan sendiri kedudukan saya. Apa keperluan untuk saya kemukakan bukti kepada UMNO?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, status ADUN Rembia telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, tetapi akan diumumkan kemudian.
Ibrahim berkata, nasib bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu hanya diumumkan pada Sidang DUN akan datang.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab. Rauf Yusoh dilaporkan berkata, Muhammad Jailani perlu mengemukakan bukti telah menyertai Pas sejak 2023, sebelum Sidang DUN pada November ini.
Tegas Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Muhammad Jailani perlu memberikan butir-butir terperinci tentang kedudukan dalam Pas sebelum sebarang keputusan dibuat terhadapnya. – UTUSAN










